Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 15, 2017

BELIA DIMINTA WASPADA AGENDA LGBT


Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin


Kuala Lumpur - Majlis Belia Malaysia (MBM) mengecam keras agenda tersembunyi di sebalik penganjuran majlis iftar terbesar gay yang dianjurkan sebuah NGO yang secara terangan melanggar kesucian Islam dan norma masyarakat Malaysia.

Presidennya, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, MBM tiada masalah dengan penganjuran majlis iftar itu namun cubaan untuk mempromosikan gerakan LGBT yang memang bertentangan dengan ajaran Islam nyata mahu mempersendakan agama.

"MBM mengutuk penganjuran majlis iftar atas tujuan tersebut yang jelas cuba memesongkan pemikiran majoriti masyarakat negara ini khususnya umat Islam dengan menggunakan platform agama.

"Matlamat iftar tidak boleh menghalalkan cara mempromosikan aktiviti songsang itu apatah lagi ia jelas hanya mengambil agama pada bahagian (juziyah) yang disukai sahaja," katanya.

Beliau berkata, cubaan golongan LGBT mahu mengarus perdanakan orientasi mereka dalam masyarakat umum Malaysia seharusnya dibendung dan ditentang sama sekali.

Ujar Mua'amar, perkembangan gerakan berkenaan dibimbangi akan mempengaruhi golongan muda untuk cenderung bersimpati terhadap perjuangan songsang mereka di negara ini.

"Saya minta semua pihak membuka mata hati, pantau cubaan songsang ini dan bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih serius nanti.

"MBM cukup takut anasir-anasir LGBT ini jika dibiarkan terus berleluasa akan menyebabkan golongan belia negara terjerumus kepada kehidupan tidak moral itu," katanya.

Seterusnya beliau menasihatkan segenap lapisan belia di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan agenda tersembunyi dan halus dalam setiap program yang menyokong perjuangan golongan LGBT ini.

"Mereka biasanya bertopengkan elemen kebebasan, perjuangan hak sama rata dan kini menggunakan agama untuk 'menghalalkan' amalan songsang itu...jadi para belia kena berwaspada, jangan mudah terpengaruh," katanya.


0 comments:

share2