Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 8, 2017

[KUANTAN] RAMADAN SAUDARA BAHARU


Ramadan saudara baharu


Memilih untuk melafazkan syahadah dan menjalani cara hidup Islam adalah satu keputusan yang amat besar diambil oleh saudara baharu, hingga ada di antara mereka mengalami konflik dengan ahli keluarga.

Golongan dipilih menerima hidayah ALLAH SWT ini perlu menempuh penghijrahan secara menyeluruh yang menuntut kesabaran mereka dalam berdepan pelbagai cabaran dan dugaan mendatang.

Pengalaman menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan antara ujian perlu dilalui dan diharungi dalam proses bergelar Muslim bertakwa.

Sinar Harian menyelami perasaan golongan saudara baharu di negeri ini yang sudi berkongsi pengalaman mereka menunaikan rukun Islam ketiga itu.

MEMELUK Islam September tahun lalu membuatkan ibu tunggal, Zairinah Mahidin, 34, dari suku kaum Jakun merasai pengalaman baharu menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Ibu tiga anak itu berkata, walaupun dia tinggal bersama ibu bapa yang bukan Islam, dia bersyukur kerana mereka memahami keperluan dan cara hidupnya kini.

Menurutnya, selepas dua tahun berpisah dengan suaminya, dia memutuskan untuk memeluk Islam kerana melihat perubahan hidup adik keduanya yang sudah memeluk Islam sejak tujuh tahun lalu.

“Saya lihat perubahan positif selain dia taat kepada ibu bapa walaupun sudah memeluk Islam.

“Dengan hati terbuka, saya buat keputusan untuk memeluk Islam bersama dua anak yang tinggal bersama,” katanya ketika ditemui pada Program Ihya Ramadan Saudara Baru anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang (Jakoa) di Kuantan, semalam.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hasan.

Zairinah yang tinggal di Kampung Orang Asli Batu 8, Kuala Rompin itu berkata, sepanjang berpuasa, dia tidak menghadapi sebarang kesulitan kerana keluarga memahami situasinya.

Katanya, dia tidak bermasalah dalam penyediaan makanan kerana keluarga sudah biasa bergaul dengan orang Islam.

“Tiada banyak perubahan namun saya masih dalam usaha mendalami Islam terutama dari segi solat dan mengaji.

“Dari hal lain, saya tak ada masalah malah adik, Adam Zaidi, 31, sentiasa membantu jika saya ada kekeliruan tentang agama Islam,” katanya.

Dia yang berniaga kedai makanan secara kecil-kecilan berkata, ibadah puasanya bersama dua anaknya dijalani dengan sederhana dan dia lebih gemar memasak sendiri.

“Semuanya sederhana sahaja , begitu juga dengan persiapan hari raya nanti,” katanya.

Mohd Mustar Alin Abdul Rahman, 34, pula berkata, dia juga menjalani ibadah puasa secara sederhana selepas memeluk Islam April lalu.

Katanya, pengalaman bersahur dan berbuka puasa merupakan satu pengalaman berharga buatnya sekeluarga.

“Saya memeluk Islam bersama isteri, Nur Masrini Rimos, 34, dan dua anak. Niat untuk memeluk Islam sudah lama terdetik di hati namun hanya masa sahaja yang belum tiba.

“Saya dan isteri berbincang semalaman sebelum membuat keputusan memeluk Islam,” kata lelaki suku kaum Temuan itu.

Sementara itu, Mohd Mustar Alin yang tinggal di Kampung Gabong, Bentong berkata, memandangkan dia baru memeluk Islam, masih banyak yang perlu dipelajarinya terutama dari segi solat dan bacaan dalam solat.

“Bagi saya tiada banyak perubahan namun sebagai Islam, kita ada hala tuju dan panduan hidup berbanding dahulu.

“Ibadah puasa ajar saya untuk lebih sabar kerana kita menahan lapar dan dahaga dalam masa sama, kuatkan iman kita di samping menyelami situasi golongan tak bernasib baik,” katanya.

Menurutnya, setakat ini dia belum membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri.


0 comments:

share2