Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 8, 2017

[JERANTUT] BAYI DERITA OTAK TIDAK BERKEMBANG


Bayi derita otak tidak berkembang


“Walaupun doktor kata anak saya dah tak ada harapan untuk kembali normal seperti anak lain, tapi saya tetap percaya percaturan dan ketentuan ALLAH SWT,” kata ibu bayi berusia sembilan bulan yang menghidap penyakit otak tidak berkembang atau microcephaly.

Noor Asikin Mazlan, 33, yang tinggal di Kampung Muhibbah, di sini berkata, anaknya, Muhammad Rafiq Ali Abdul Karim menghidap masalah otak yang tidak membesar, sekali gus mengakibatkan masalah kepada tulang leher dan kakinya yang bengkok.

Malah, anaknya itu turut disyaki menghidap masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan sempit. 

Dia yang sebelum ini menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, ketika usia kandungannya tujuh bulan, doktor mendapati saiz kepala Muhammad Rafiq kecil berbanding saiz kandungannya.

“Dua kali doktor scan dan doktor beritahu benda sama. Sepatutnya dia dijangka lahir 13 September 2016, tapi 1 September saya dah rasa sakit nak bersalin. 

“Saya pun pergi hospital (di Pulau Pinang) dan lahirkan Rafiq secara bedah. Selepas tu, barulah doktor dapat kesan beberapa masalah lain seperti kepala kecil, kaki bengkok, pernafasan tak stabil dan tak boleh minum susu sama ada susu badan atau botol,” katanya. 

Pada awalnya, doktor mengesyaki anaknya itu dijangkiti Zika, namun setelah pemeriksaan darah dilakukan, kanak-kanak terbabit didapati bebas daripada virus berkenaan. 

“Sejak lahir, hidung Muhammad Rafiq dipasang dengan tiub sepanjang kira-kira sejengkal bagi membantunya untuk minum susu. 

“Selain dipasang tiub, doktor juga beritahu saya supaya bersedia untuk sebarang kemungkinan sebab doktor kata otak dan badan Rafiq memang tak akan membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya. 

Noor Asikin yang baharu kehilangan ibunya akibat kanser rahim dan masalah buah pinggang bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila mendengar apa yang diberitahu oleh doktor kepadanya, ketika itu. 

“Doktor kata boleh tahu jangka hayat anak saya, tapi saya tak mahu tahu sebab dulu arwah mak pun doktor kata boleh hidup setahun tapi dia meninggal beberapa bulan kemudian,” katanya. 

Menurutnya, dia berharap dapat melihat anaknya itu membesar walaupun pada masa sama tetap bersedia dan reda sekiranya usia anak kecilnya itu tidak panjang. 

“Kalau dapat lihat Rafiq tak lagi bergantung pada tiub pun dah kira satu rahmat dan perkembangan yang baik. Siapa tahu suatu hari nanti harapan kami termakbul dan jika diizinkan ALLAH SWT, tak mustahil Rafiq boleh berjalan suatu hari nanti,” katanya.

Melihatkan keadaan Rafiq yang memerlukan penjagaan rapi, Nor Asikin mengambil keputusan untuk berhenti bekerja sebagai penjaga kaunter tiket feri di Pulau Pinang.

Disebabkan kos sara hidup meningkat juga, dia dan suami, Abdul Karim Mohamad Ali, 31, mengambil keputusan untuk berpindah ke kampung halaman Abdul Karim, di Kampung Muhibbah, di sini. 

Abdul Karim dikatakan kini bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah restoran di daerah ini dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.

Pendapatan itu digunakan sepenuhnya untuk kelengkapan dan keperluan harian seperti susu dan lampin Rafiq dan anak sulungnya, Nur Sahirah Amni, 3.

Selain bergantung kepada ubat diberikan pihak hospital, Muhammad Rafiq juga perlu ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh untuk berjumpa pakar dan melakukan fisioterapi setiap dua atau tiga kali sebulan.


0 comments:

share2