Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 8, 2017

[BERA] TIDAK HANYA FIKIR UNTUNG


Tidak hanya fikir untung


“Kalau mahu lama berniaga, kena ikhlas. Tak mahu untung saja tapi menyusahkan orang lain,” kata seorang peniaga di bazar Ramadan Bandar Triang, Rohaya Puteh, di sini.

Wanita berusia 43 tahun itu berkata, dia mementingkan kualiti dan kebersihan penyediaan juadah kuih-muih yang dijualnya.

“Tengok pada jenis kuih, kalau mana yang bersantan, saya buat lewat sebab tak mahu cepat basi. Takkan nak jual kuih basi kepada orang, tak eloklah begitu.

“Saya berniaga bukan nak untung semata-mata, tapi untuk cari rezeki halal. Kita sedia juadah yang sedap dan elok, nanti pembeli akan datang lagi,” katanya kepada pemberita, di sini.

Rohaya berkata, selain 10 jenis kuih yang dibuatnya sendiri, dia turut membantu menjual makanan individu lain di gerainya.

"Selalunya, saya akan periksa dan bau kuih-kuih itu, kalau berbau saya tak akan jualnya kepada pelanggan Saya letak tepi sebab risau kalau pelanggan beli, mereka boleh sakit perut nanti.

“Jadi, saya berterus-terang kepada mereka, tanya masa bila mereka buat. Saya nasihatkan mereka juga supaya pastikan juadah yang disediakan itu selamat dimakan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Noryati Sanusi, 38, berkata, menjual pelbagai jenis lauk dan kuih pada bulan Ramadan memerlukan pengorbanan dari segi tenaga dan masa selain memastikan diri dalam keadaan sihat supaya dapat menghasilkan juadah yang selamat serta tidak memudaratkan pelanggan.

“Selalu kita dengar, pelanggan keracunan makanan sebab makan juadah yang tak bersih yang dibeli di bazar Ramadan dan semestinya saya mahu menjauhi perkara itu.

“Kalau sekali orang terkena, sakit perut atau terbeli makanan basi, mereka tak akan datang lagi ke gerai kita. Kita pun tak dapat apa-apa keuntungan,” katanya.

Menurutnya, meskipun aktiviti sehariannya sebelum ini dengan menjual kuih-muih, dia masih mengingati dirinya supaya memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Rohaya dan Noryati merupakan antara lima peniaga yang menerima lebih 95 peratus markah semasa pemeriksaan dilakukan penguat kuasa pejabat kesihatan daerah sepanjang minggu pertama di bulan Ramadan.

Sijil penghargaan kepada mereka disampaikan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas ngeri, Dato' Norol Azali Sulaiman pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Bersih dan Selamat yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sha’ari Ngadiman.


0 comments:

share2