Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 8, 2017

[ROMPIN] LEMANG PERIUK KERA PEMBUKA SELERA


Lemang periuk kera pembuka selera


Selain menjadi menu pilihan ketika Aidilfitri, juadah eksotik lemang periuk kera kini turut menjadi juadah pilihan pada bulan Ramadan.

Beras pulut bersama santan yang dikukus dalam periuk kera itu sangat enak dimakan bersama rendang ayam yang sudah tentu menjadi pembuka selera ketika berbuka puasa.

Berbeza dengan lemang yang dibakar dalam buluh yang biasa dijumpai hampir di seluruh negeri di semenanjung, isi lemang periuk kera lebih lembut dan memiliki aroma tersendiri.

Peniaga, Maria Bahari, 56, berkata, memilih lemang periuk kera sebagai juadah jualan utama gerainya di Bazar Ramadan Kuala Rompin mendapat sambutan yang sangat baik daripada pengunjung.


 
Pelanggan kebiasaannya akan membeli rendang ayam sekali kerana lemang itu sangat enak dimakan bersama menu berkenaan.


“Kami terima maklum balas positif daripada pelanggan...ada pelanggan yang baru pertama kali cuba periuk kera ni, datang lagi beli buat kali kedua. Alhamdulillah lemang periuk kera berjaya pikat selera mereka,” katanya.

Beliau yang merupakan penduduk Merchong, Pekan itu tidak sangka ada pelanggan berbangsa Cina juga mula gemar dengan juadah itu.

“Saya mula buat juadah ni dalam dua tahun lalu dan sepanjang tempoh itu saya hanya buat berdasarkan tempahan, untuk bazar Ramadan...ini merupakan tahun pertama.

“Juadah ni popular masa hari raya saja...tak pun kalau ada majlis tertentu. Mula-mula saya risau juga kalau tak dapat sambutan. Tapi syukur sangat rezeki sentiasa ada, ramai pula orang beli,” katanya kepada Sinar Harian

Kena pandai buat adunan

Maria berkata, salah satu sebab dia menjual menu berkenaan kerana merasakan ia juadah unik dan sukar didapati.

“Bulan puasa ni rasanya jarang orang jual lemang ni. Maklumlah nak buat lemang periuk kera ni agak leceh sikit sebab kena pandai buat adunannya.

“Santan kena cukup-cukup, kalau tak lemang jadi keras atau tak cukup lemak,” katanya.

Setelah lebih 10 Ramadan berniaga, Maria menganggarkan sekitar 500 biji lemang periuk kera berjaya dijual sehari manakala tanggungjawab memastikan bekalan tumbuhan itu terletak pada suaminya, Mohamad Hussin, 55.

Mohamad berkata, setakat ini dia masih dapat menampung bekalan periuk kera itu namun jumlahnya tidak tetap.

Periuk kera lazimnya didapati di kawasan bukit dan paya.


“Satu cabaran besar nak dapatkan periuk kera...lagi-lagi bila kena dapatkannya setiap hari.

“Setakat ni saya lega sebab setiap hari ada bekalan, untuk senangkan kerja saya...saya upah orang lain cari bekalan periuk kera...selalunya cari kat kawasan bukit dan paya daerah ini,” katanya


0 comments:

share2