Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 10, 2017

[KERATONG] 'BIMBANG MEREKA, BUKAN BUANG'


‘Bimbing mereka, bukan buang’


Masyarakat terutama penduduk Felda diseru supaya tidak mengabaikan atau menyisihkan bekas pesalah dadah yang masih tinggal di dalam atau di luar tanah rancangan sebaliknya mencari jalan bagaimana membimbing golongan itu supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.

Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Selancar 2, Mohd Mustafa Kamal Ismailludin, berkata, tekanan daripada masyarakat setempat juga dipercayai antara punca mereka kembali kepada gejala penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, beri golongan itu peluang dan ruang bukan memandang serong kesalahan lampau kerana itu tidak membantu mereka untuk memulihkan diri daripada ketagihan dadah.

“Mungkin mereka yang kebanyakannya golongan muda ni dah buat silap...tapi kita tak boleh pandang serong sebaliknya bantu mereka untuk lebih kuat kembali ke pangkal jalan.

“Justeru itu, sekali lagi ingatkan diri sendiri dan semua khasnya masyarakat Felda supaya menjauhi dadah kerana ia tak mendatangkan apa-apa kebaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes tiga lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Felda Selancar 2, di sini, pagi kelmarin kerana memiliki dan positif dadah.

Sementara itu, beliau turut menyeru supaya mana-mana pihak tidak memandang isu berkenaan sebagai bahan gelak ketawa kerana umum mengetahui masalah dadah di tanah rancangan Felda bukan suatu yang baharu malah ia kini ibarat barah.

“Saya seru masyarakat Felda khasnya di Selancar supaya lebih berhati-hati dan ambil langkah berjaga-jaga sekiranya berhadapan dengan situasi terserempak dengan pesalah dadah.

“Belia Felda di dalam atau di luar jauhilah najis dadah dan berilah kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penagihan dadah, kepada polis dan AADK,” katanya ketika ditemui pada Program Mengedar Bubur Lambuk Pemuda Umno Rompin di Bazar Ramadan Bandar Tun Razak, di sini, kelmarin.

Hadir sama Exco Belia dan Sukan Pahang, Dato' Mohd Johari Hussain serta Adun Bukit Ibam, Dato' Wan Kadri Wan Mahusain.


0 comments:

share2