Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 10, 2017

TAK SANGKA DAPAT BERAYA BERSAMA-SAMA TAHUN INI


Tak sangka dapat beraya bersama-sama tahun ini


Kota Bharu - Sebuah keluarga terkejut bercampur gembira apabila anak perempuannya yang belajar di Jepun lebih tiga tahun tidak ditemui, kembali untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halamannya.

Anis Farhana Ibrahim, 28, penuntut Ijazah Sarjana Jurusan Kejuruteraan di Universiti Kagoshima, Jepun, bersama suami Nik Mohd Faiz Nik Azlan, 25, serta anak perempuan sulung Nik Nusaibah Al Khaulah, 20 bulan, muncul di rumah ibu bapanya di Kampung Pulau Belanga di sini, petang semalam.

Zabidah Ismail, 55, dan suaminya Ibrahim Isa, 57, terkejut apabila anak kesayangan mereka itu muncul di hadapan mata selepas lebih daripada tiga tahun tidak bertemu.

Beliau yang ditemui pemberita begitu terharu dan tidak menyangka anak yang selama ini dirindui akhirnya berada di hadapan mata.

"Memang saya amat terharu dan berterima kasih kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) kerana membantu anak saya berserta suami dan seorang anak berusia 20 bulan, balik beraya di kampung.

"Memang setiap kali Ramadan dan menjelang Syawal, wajahnya sentiasa terbayang di mata. Tidak sangka kali ini dia betul-betul berada di hadapan mata," katanya.

Anis Farhana adalah antara tiga pelajar Malaysia yang terpilih yang mendapat tajaan tiket penerbangan pulang ke kampung sempena sambutan perayaan, khas daripada BSN.

Sementara itu, Anis Farhana berkata, memang beliau sentiasa merindui keluarga setiap kali Syawal menjelma tetapi apakan daya kerana tiada kemampuan kewangan.

Katanya di Jepun beliau ditemani suami, Nik Mohd Faiz serta anak perempuan sulung Nik Nusaibah Al Khaulah.

"Di Jepun saya hanya menumpukan kepada pelajaran sementara suami bekerja sebagai perunding jualan bekalan makanan kepada pasar raya.

"Memang pendapatan hanya mencukupi untuk makan minum dan sewa rumah sahaja dan kami tiada simpanan untuk membeli tambang balik," katanya.

Kata anak kedua daripada lapan beradik itu, peluang yang diberikan oleh BSN itu amat bermakna kerana selepas beberapa tahun barulah beliau dapat beraya bersama keluarga di kampung.

"Raya tahun ini adalah yang paling bermakna bagi saya kerana akhirnya dapat memeluk ibu dan ayah, selepas sekian lama, " katanya.

Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar berkata BSN tidak pernah ketinggalan menjalankan tanggungjawab sosialnya setiap kali menjelang Aidilfitri dan kali ini muncul dengan kempen "Riuhkan Raya BSN".

"Ini adalah satu daripada segmen oleh BSN iaitu aktiviti tanggungjawab sosial yang menjurus kepada ikatan silaturahim kekeluargaan menjelang musim perayaan yang semakin hampir," katanya.

Puspa Marina berkata Anis Farhana adalah seorang daripada tiga penuntut cemerlang yang terpilih untuk pulang beraya.

"Memberi penekanan akan kepentingan ikatan silaturahim kekeluargaan sempena sambutan Syawal yang bakal tiba, BSN menaja kepulangan ketiga-tiga penuntut ini untuk pulang beraya bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini kempen BSN lebih menyeluruh kerana melibatkan semua medium media dan dilaksanakan menerusi tiga segmen iaitu peraduan produk pembiayaan kewangan dengan BSN sama ada pembiayaan peribadi, perumahan dan lain-lain selain baucer hadiah.


0 comments:

share2