Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 10, 2017

[PEKAN] BIMBANG HASIL TEMBIKAI MEROSOT


Bimbang hasil tembikai merosot


Sebahagian penanam dan peniaga tembikai di Kampung Ubai di sini mengeluh apabila mengalami kemerosotan hasil ekoran faktor cuaca yang tidak menentu.

Disebabkan hasil kurang, penjualan buah itu juga dikatakan mengalami sedikit penurunan baru-baru ini.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan Kampung Ubai termasuk di ladang dan gerai di tepi jalan mendapati mereka berhadapan dengan masalah pengeluaran pada tuaian yang lalu apabila terpaksa berdepan dengan cuaca yang tidak menentu.

Bagaimanapun permasalahan tersebut masih lagi terkawal kerana mereka boleh membekalkan buah tembikai ke pasaran mengikut kehendak pelanggan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Seorang pengusaha ladang dan peniaga buah tembikai jenis boci, Husaini Abdullah, 39, berkata, kemerosotan pengeluaran buah tembikai seperti yang digembar-gemburkan bukanlah disebabkan penyakit namun ia disebabkan perubahan cuaca yang mendadak.

“Biasanya tengah tahun paling sesuai tanam tembikai, tapi disebabkan panas di siang hari dan hujan berlebihan di sebelah malam beri sedikit kesan.

“Pokok yang ditanam sangat subur disebabkan kita telah menjalani pelbagai kaedah secara sistematik seperti pengolahan tanah, pembajakan dan banyak lagi sebelum semaian benih, tapi disebabkan hal itu penghasilan buah agar berkurangan.

“Sasaran pengeluaran semusim (55 hari) bagi 0.4 hektar adalah kira-kira 10 tan, tapi sekarang rata-rata pengusaha dapat empat hingga lima tan sahaja,” katanya.

Tambahnya, memang lazimnya pengusaha sudah mempunyai perancangan penanaman berdasarkan keadaan cuaca dan musim untuk penanaman tembikai.

Dalam pada itu, bagi Mohd Khusairy Abdullah, 27, yang juga pengusaha dan penjual tembikai jenis boci berkata, setakat ini penjualan buah tembikai masih memberangsangkan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah.

“Sebelum ini, kami terpaksa berdepan dengan hujan sampai putik tak lekat, dan pengeluaran buah jadi kurang.

“Jadi penghasilan buah yang diperoleh hanya sekitar empat atau lima tan sahaja bagi suku hektar, berbanding sebelum ini mencecah sehingga lapan tan.

“Tapi sejak seminggu lepas, keadaan cuaca bertambah baik,” katanya yang merupakan pemegang diploma dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Bagaimanapun katanya, setakat ini penjualan buah tembikai sama ada dari segi borong kepada Fama atau runcit sentiasa mendapat permintaan dan masih boleh dipenuhi terutama di bulan puasa ini.

Sementara itu, bagi penjual, Norulam Awang Sulung, 52, buah tembikai Kampung Ubai memang sudah terkenal dan ia sentiasa laris terutama di bulan Ramadan.

Menurutnya, dia menjual buah berkenaan pada harga RM2.20 hingga RM2.50 sekilogram mengikut harga pasaran dan tidak akan menjual lebih mahal daripada yang dijual di pasar raya.

“Buah tembikai di Kampung Ubai ada kualiti tersendiri, harganya juga berpatutan. Sebab tu setiap hari saya tambah satu tan buah tembikai untuk dijual.

“Walaupun kebelakangan ini ada sesetengah pengusaha terpaksa berdepan masalah cuaca atau kulat, tapi boleh diatasi.

“Bekalan masih cukup malah hasil pendapatan pun tak terjejas. Sehingga kini pengusaha dan peniaga mampu raih sekitar RM10,000 sebulan,” katanya yang menjual semua jenis tembikai atas permintaan pelanggan.


0 comments:

share2