Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 21, 2017

SULTAN BIMBANG GEJALA RASUAH


Sultan bimbang gejala rasuah


Bukit Chandan - Peranan guru mampu membendung gejala rasuah dengan menyemai sikap bencikan rasuah dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kebelakangan ini penipuan banyak terjadi dalam kehidupan pasca sekolah malah tangkapan melibatkan kes rasuah semakin meningkat.

Titah baginda, tangkapan rasuah melibatkan pelbagai peringkat masyarakat dan turut melibatkan kenamaan serta pegawai berjawatan tinggi malah tokoh dan atlet juga terpalit dengan isu sama.

Justeru, baginda melihat pembinaan insan berintegriti, insan jujur, insan amanah dan insan yang telus adalah satu kemestian demi keharmonian serta kemajuan negara.

“Rekod pencapaian kemajuan negara selama enam dekad boleh runtuh dalam masa satu dekad akibat pelbagai salah laku yang mengakibatkan ketirisan sumber. Seramai 435,000 orang guru yang berada di alam sekolah adalah tenaga besar yang boleh memulakan langkah gergasi untuk membendung barah rasuah dengan menyemaikan nilai-nilai memusuhi rasuah di kalangan anak didik.

“Guru adalah soldadu yang berada di barisan hadapan. Oleh itu, input guru amatlah penting dan tidak boleh disisihkan ketika menggubal dasar-dasar berkaitan pendidikan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Santapan Tengah hari Meraikan Warga Pendidik Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak di Istana Iskandariah, semalam.

Sultan Nazrin turut melahirkan kebimbangan apabila melihat warga muda di Malaysia kelihatan semakin terpisah dan kurang berinteraksi antara satu sama lain.

Titah baginda, sekolah dahulunya merupakan antara tempat menyemai perpaduan dalam kalangan masyarakat namun peranan sebegitu dilihat semakin terhakis sekali gus tidak mencapai matlamat dasar pendidikan nasional.

“Hari ini, negara kelihatan masih mencari-cari formula integrasi yang berkesan. Lebih membimbangkan apabila minda anak muda semakin disemburi racun pemisah kerana retorik politik berunsur perkauman.

“Elemen adat dan adab, tertib dan sopan yang dimiliki oleh warga akan menentukan reputasi sesebuah negara bangsa. Sesungguhnya, sekolah adalah institusi terbaik untuk menyuntik semangat negara bangsa,” titah baginda.

Baginda turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak mempertanggungjawabkan sepenuhnya urusan mendidik anak kepada guru dan pembantu rumah kerana institusi keluarga akan hancur jika berbuat demikian.

“Pendidikan boleh dihancurkan dengan tidak memberi pengiktirafan sebenarnya kepada peranan guru,” titah baginda.


0 comments:

share2