Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 21, 2017

PKR KINI DI PERSIMPANGAN MAUT: PAKAR


Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib


Shah Alam - Konflik PKR dan Pas akan menyebabkan agenda Pakatan Harapan tidak tercapai, itu kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib.

Md Shukri juga tidak menolak, Pas akan bekerja lebih kuat dan tidak akan membiarkan kerusi PKR selamat selepas memutuskan hubungan dengan parti itu.

"Jika Pas bertindak bertanding di kerusi-kerusi PKR, maka kemungkinan besar walaupun Pas tidak akan menang di kawasan terbabit, tetapi mangsa politik yang tragis adalah PKR.

"Ramai calon PKR kemungkinan 'mati katak' jika Pas bertindak menguasai semula kerusi yang dipinjam kepada PKR," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Menurut Md Shukri yang juga merupakan Felo Penyelidik Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan), apa yang berlaku antara Pas dengan PKR juga akan menjadikan hubungan antara kedua parti itu tidak akan terjalin seakrab dahulu.

"Konflik yang melanda hingga terbubarnya tahaluf Pakatan Rakyat dahulunya boleh diandaikan berkisar soal hubungan pemimpin dan tokoh DAP dengan pihak Pas.

"Jika masing-masing parti termasuk DAP mampu memahami apa keperluan Pas, maka hubungan politik tidak akan sampai ke tahap kritikal sebegini.

"Kejayaan PKR sebagai ejen penyatu Pas dan DAP jelas, malangnya kini PKR akan terhakis peranannya dan mungkin akan mengalami tsunami defisit sokongan akibat ketiadaan Pas bersama mereka," katanya lagi.

Menurutnya lagi, PKR kelihatan akan terus menjadi musuh kepada Pas kerana persahabatan akrab dengan DAP termasuk dengan Amanah yang merupakan seteru Pas.

"Jadi kini PKR dalam persimpangan maut.

"PKR mungkin hanya akan mengharapkan kemenangan di kawasan pengundi cina melebihi 60 peratus. Apa yang boleh PKR buat adalah dengan meminta DAP meminjamkan kerusi mereka bagi memastikan survival parti berkenaan," katanya lagi.


0 comments:

share2