Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 31, 2017

REZEKI 'TERPIJAK' BAWA KEUNTUNGAN





Sudah pasti ramai tidak akan percaya apabila seseorang yang mempunyai gaji bersih RM1,800 sebulan mampu memiliki lapan unit rumah dalam tempoh 14 tahun.

Nekmatuzzura Ubaidari, 36, memiliki rumah sendiri ketika dia berusia 23 tahun, yang mana semasa itu hanya mempunyai gaji RM850 sebulan ketika bekerja sebagai kerani sumber manusia di sebuah pusat beli-belah milik tempatan pada 2003.

"Semuanya bermula apabila saya terpijak risalah rumah lelong. Saya kutip dan baca risalah itu, lokasinya dekat sahaja dari rumah ibu bapa saya.

"Saya pergi tinjau rumah dan terus pergi bida rumah itu sendirian, ketika itu mungkin rezeki saya, tidak ada orang datang, jadi saya dapat rumah itu dengan harga RM72,000," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, dia menggunakan RM7,200 duit simpanannya bagi deposit rumah dengan bayaran bulanan RM300 sebulan kepada pihak bank dan menyewakannya dengan RM600 sebulan.

"Dengan pendapatan RM300 pada ketika itu, kini kadar sewa rumah itu mencecah RM1,200 sebulan.

"Bermula daripada itu, saya melihat ia mampu mendatangkan pendapatan dan saya cuba untuk membeli rumah lelong kedua setahun selepas itu di Ukay Perdana.

Jikalau pada bidaan yang pertama Nekmatuzzura tidak mempunyai pengalaman langsung tentang rumah lelong.

Kali ini, dia mengumpul ilmu dengan membaca buku hartanah daripada ikon hartanah yang terkemuka dalam negara.

Berdasarkan kepada pengalaman itu, Nekmatuzzura berjaya membida rumah dengan harga RM52,000.

Bermula daripada itu, anak kelahiran Datuk Keramat Kuala Lumpur ini merasa seronok dan melihat pendapatan yang positif kepadanya.

Tahun seterusnya pada 2005, bekas pelajar Politeknik Ungku Omar dalam bidang kejuruteraan awam ini membeli rumah lelong ketiga dan pada 2007, rumah keempatnya.

Kini, Nekmatuzzura yang telah menjadi penjawat awam sejak tiga tahun lalu itu mempunyai lapan rumah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, yang mana dua daripadanya rumah baharu dengan harga di bawah RM300,000.

Nekmatuzzura mengakui bukan mudah untuk memiliki kesemua rumah itu, bahkan, katanya, perlu ada kesabaran dan hidup perlu bersederhana.

"Saya sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan duit yang halal. Saya pernah kerja sambilan untuk membersihkan tandas, jual tin dan kertas terpakai.

"Saya juga membawa bekal ke tempat kerja daripada dahulu lagi, ketika itu hidup agak susah. Tetapi, sekarang ini, walaupun ada duit lebih sikit namun saya tetap amalkan hidup berjimat, mungkin sudah terbiasa," katanya.

Berkat usaha dan doa kedua ibu bapanya, siapa sangka kini, Nekmatuzzura mampu menjana pendapatan bersih RM4,000 sebulan bagi semua rumah sewa miliknya, selepas potongan RM1,800 bayaran untuk pihak bank.

Nekmatuzzura juga mengimpikan untuk mempunyai kira-kira 80 unit rumah apabila pencen nanti.


0 comments:

share2