Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 31, 2017

MALAYSIA KUTUK PELANCARAN PELURU BERPANDU KOREA UTARA


Korea Utara tingkatkan provokasi


Kuala Lumpur - Malaysia hari ini mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara yang dilancarkan di Wonsan, pantai timur negara itu semalam (29 Mei).

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, ini merupakan pelancaran ketiga dalam tempoh sebulan, menjadikan jumlah pelancaran sebanyak sembilan kali pada tahun ini.

"Penentangan berterusan pihak Korea Utara untuk menghentikan program nuklear dan peluru balistiknya secara serta-merta seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), telah mengeruhkan lagi situasi yang sudah sedia tegang di Semenanjung Korea.

"Malaysia mengutuk pencabulan secara jelas oleh Korea Utara terhadap resolusi-resolusi berkaitan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Malaysia juga menggesa Korea Utara untuk memenuhi obligasi antarabangsa demi kepentingan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.

"Dalam hal ini, Malaysia menyeru supaya dialog secara aman dan rundingan diadakan semula antara Korea Utara dengan pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Korea Utara dilaporkan melancar satu lagi ujian peluru berpandu balistik berhampiran Lapangan Terbang Wonsan yang mendarat di Laut Jepun semalam.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya telah menerima laporan bahawa tiga orang pelajar Malaysia telah ditahan oleh Polis Greater Manchester sekitar 5.40 petang semalam (waktu tempatan).

Katanya pelajar tersebut telah dibawa ke Balai Polis Longsight di Manchester, dipercayai untuk disoal siasat dan telah dibebaskan pada 9 malam (waktu tempatan).

Walau bagaimanapun, kementerian tidak menyatakan sebab mereka disiasat.


0 comments:

share2