Seramai 12 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) diundang menjadi imam solat tarawih di Amerika Syarikat, Sweden dan Australia sepanjang Ramadan tahun ini.
Pertambahan jumlah pelajar itu merupakan satu pengiktirafan kepada usaha dilakukan sejak 2014 itu.
Penghantaran pelajar terbabit mendapat sokongan daripada Yayasan Pahang (YP) selain agensi-agensi seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Amanah Saham Pahang Berhad (Aspa).
Pengarah MTNP, Datuk Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, mereka berusia 16 hingga 26 tahun itu adalah pelajar terbaik MNTP yang memenuhi kriteria ditetapkan seperti mahir berbahasa Inggeris, berpengetahuan luas dan mempunyai tahap bacaan al-Quran yang baik kerana mereka bukan sahaja mewakili institusi Maahad Tahfiz di Pahang, bahkan Malaysia secara amnya.
Pelajar terpilih ialah Salman Zulkifle, Esfan Asmaie Khairul Anam, Mohd Hilmy Muhamad Khalil, Aiman Fkahri Zainuddin, Nusair Nadzeri, Muhammad Syamil Yosrini, Ahmad Mukmin Norhisyamuddin, Muhammad Nor Saleh M F Rahimi, Mohd Syamil Anuar, Muhammad Taufik Muhammad Ishanudin , Mohd Hafiz Datuk Abdul Rahim, Mohd Aminur Rahman Mohamed Rashid.
Zulkifle berkata, program imam solat tarawih ke luar negara itu adalah program kemasyarakatan berimpak tinggi MTNP dan YP yang termasuk dalam pelan strategik MTNP 2014 -2020.
“Program ini dijalankan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Washington DC, Persatuan Muslim di Sweden iaitu Svenska Muslim for Fred dan Masjid Darul Imaan,Sydney, Australia.
“Di sana, pelajar ini bukan sahaja bertugas sebagai imam tarawih, tetapi turut mengendalikan program-program kepimpinan, menyampaikan khutbah Jumaat, kelas fardu ain, tazkirah dan kelas tadarus al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Imam Global 2017 ke Amerika Syarikat, Australia dan Sweden Pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang di YP, semalam.
Katanya, pelajar dipilih bukan sahaja mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran, tetapi cemerlang dalam akademik, berkemahiran berkomunikasi dan sahsiah diri turut diberi keutamaan untuk mereka berada di sana selama sebulan.
Berdasarkan senarai awal pelajar, terdapat kira-kira 50 nama yang ada namun selepas ujian dilakukan, 12 pelajar terbaik dipilih.
Katanya, kehadiran mereka juga membawa nama baik negara kepada komuniti luar.
“Ini adalah sebahagian daripada program praktikal dan strategi memperkenalkan MTNP di negara ini dan peringkat global.
“Antara kriteria dipilih adalah mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan baik serta ada daya kepemimpinan. Ia penting kerana mereka perlu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Arab sepanjang berada di sana,” katanya.
Zuklifle berkata, pihaknya memperuntukkan RM85,000 yang disalurkan melalui YP bagi menjayakan program tahun ini.
Cabaran baharu
Sementara itu, Mohd Hafiz, 20, yang kali kedua terpilih ke sana menganggap ia peluang keemasan untuk menyebarkan agama Islam kepada komuniti asing.
Tidak menafikan teruja untuk bertugas sebagai imam pada Ramadan kali ini, dia juga amat berdebar untuk melihat persepsi masyarakat luar negara sepanjang menjadi imam di Masjid Nurul Iman, Sydney.
“Berdasarkan pengalaman tahun lalu ketika bertugas di Islamic City, Stockholm, Sweden, saya berdepan cabaran komuniti asing di sana yang ada pelbagai fahaman agama.
“Saya perlu memahami fahaman mereka sebelum menyesuaikan situasi itu dengan apa diajar,” katanya yang berpengalaman menjadi imam beberapa masjid sekitar Kuantan.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berharap semuanya berjalan lancar dan kehadirannya kali ini diterima dengan baik.
Mohd Aminur Rahman, 26, yang kali ketiga terpilih menjadi imam dalam program itu turut bersyukur dengan rezeki itu.
Katanya, tawaran MNTP diterima dengan lapang dada dan berazam menjalankan tanggungjawab itu sebaik mungkin.
“Kali pertama saya ke sana pada 2014 dan bertugas di Dewan Malaysia Sydney. Pada 2015 saya jadi imam di Masjid Darul Iman Sydney, manakala tahun ini saya diberi amanah di Kedutaan Besar Malaysia Washington DC.
“Semasa di sana tahun-tahun sebelumnya, pengalaman bertemu dengan makmum yang datang daripada pelbagai latar belakang amat berharga,” katanya yang merupakan bekas pelajar MTNP.
Mohd Aminur Rahman yang juga Pengurus Masjid Bukit Sekilau sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Al-Quran Sunah di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Katanya, sepanjang berada di sana, dia tiada masalah untuk berkomunikasi dan masyarakat sekeliling saling menghormati walaupun berbeza agama.
“Selain menjadi imam, kami perlu menghadiri kelas agama dan kuliah menerusi perkongsian ilmu dalam memantapkan pengetahuan masing-masing,” katanya.
Pelajar termuda, Salman, 16, menganggap peluang itu satu cabaran buat dirinya untuk membuktikan kebolehan.
Katanya, walaupun kali pertama dipilih, persediaan rapi dibuat sejak tahun lalu.
“Saya perlu jalani ujian menghafaz satu pertiga al-Quran secara terus dan didengari panel penilai.
“Alhamdulillah saya lulus dan dipilih menyertai program ini. Saya banyak dapat maklumat daripada senior yang pernah ke sana sebagai gambaran awal untuk saya,” katanya yang akan bertugas sebagai imam di Dewan Malaysia Perth.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia akan terus memantapkan bacaan dari semasa ke semasa supaya tugasnya lancar.
“Saya harap dapat lalui Ramadan kali ini dengan pengalaman baharu di negara orang,” katanya.
Kesemua mereka berangkat ke destinasi masing-masing hari ini dan akan berada di sana sehingga 25 Jun depan.
0 comments:
Post a Comment