Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 16, 2017

[KUANTAN] HAMPIR 100 MOTORSIKAL DIKESAN LAKU KESALAHAN

Hampir 100 motosikal dikesan lakukan kesalahan



Sebanyak 106 motosikal diperiksa dan 71 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Mat Rempit di pusat peranginan Pantai Sepat di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam operasi yang bermula jam 4 petang hingga 8 malam itu, 71 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, 17 saman dikeluarkan membabitkan lesen memandu, enam kes cukai jalan, satu kes tiada perlindungan insurans, 22 kes nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, lapan kes melibatkan pelekat P dan L, dua tidak memakai topi keledar, lima kes kesalahan cermin sisi, empat ekzos bising, satu kes penunggang bawah umur dan lima untuk lain-lain kes.

“Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditahan, 17 dikenakan tindakan sitaan manakala tiga penunggang diarah menjalani ujian saringan air kencing bagaimanapun mereka didapati negatif dan dibebaskan selepas tindakan saman lalulintas diambil,” katanya.

Beliau berkata, pada operasi itu juga pihaknya melakukan semakan ke atas pengenalan diri 50 individu dan 50 nombor pendaftaran motosikal bagaimanapun tiada kes individu dikehendaki atau kenderaan (motosikal) curi dikesan.

Katanya, pada operasi itu, dua ditahan kerana menunggang secara bahaya untuk siasatan mengikut Seksyen 279 Kanun keseksaan.

Menurutnya, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan Ops Mat Rempit bagi membendung gejala itu daripada terus berlaku.

Pada operasi itu, seramai 31 anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan anggota bantuan dari IPD luar terlibat dengan dibantu 18 anggota Sukarelawan Poilis Diraja Malaysia.




0 comments:

share2