Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 5, 2017

[JERANTUT] KUARTERS GURU JADI LOKASI HIDU GAM


Kuarters guru jadi lokasi hidu gam


Sebuah kuarters guru lama dan terbiar di Felda Padang Piol, di sini didapati dijadikan bengkel mengubahsuai basikal oleh pihak tertentu hingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. 

Keadaan dalam bangunan itu disedari ketika program My Beautiful Malaysia yang diadakan di tanah rancangan itu, pagi kelmarin. 

Tinjauan mendapati, dinding antara dua ruang kediaman itu dilihat dipecahkan supaya menjadi lebih luas.

Beberapa alat ganti seperti rangka basikal dan tayar diletakkan di dinding selain terdapat peralatan untuk membaiki basikal seperti pam dan peralatan lain.

Bukan sahaja dijadikan bengkel basikal, dinding-dinding di dalam rumah itu turut diconteng menggunakan cat penyembur, sekali gus membuktikan berlakunya kegiatan vandalisme di kuarters guru lama itu. 

Timbul persoalan sama ada bengkel itu menjadi lokasi untuk mengumpul barangan alat ganti basikal yang dicuri, tambahan pula difahamkan kini kejadian kecurian basikal kerap berlaku. 

Bukan itu sahaja, tidak jauh dari kuarters itu juga ditemui sebuah lokasi dipercayai tempat untuk aktiviti tidak sihat seperti menghidu gam.

Kawasan itu kelihatan lapang kerana dibersihkan, selain pokok-pokok di sekitarnya disambung bagi membentuk atap redup seperti pondok.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Padang Piol, Rossham Arifin berkata, beliau sering melihat beberapa remaja memasuki kawasan bangunan terbiar itu.

 Rossham (kiri) dan Mohd Badrillah menunjukkan kuarters guru yang rosak gara-gara vandalisme dan dijadikan bengkel ubah suai basikal.


“Saya sering melihat kira-kira 10 remaja memasuki kawasan ini, sama ada yang masih bersekolah atau sudah tamat persekolahan. 

“Kuarters terbiar ini telah lama menjadi lokasi mereka. Kadangkala mereka masuk untuk melepaskan gian sekitar jam 12 tengah malam ketika orang lain sudah masuk tidur,” katanya. 

Beliau yang juga Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kawasan Felda Padang Piol berkata, masalah itu sudah lama dikesan dan mendatangkan kebimbangan pihak JKKK, hingga sering dibangkitkannya dalam setiap mesyuarat diadakan. 

Menurutnya, perkara itu juga beberapa kali dibangkitkan kepada pihak berkaitan supaya kawasan kuarters terbiar itu dibangunkan dan tidak terus menjadi lokasi remaja menjalankan aktiviti tidak sihat. 

“Kami minta kawasan kuarters ini dibangunkan semula. Jika ia diserahkan kepada pihak JKKK, kami merancang untuk menjadikan kuarters ini sebagai rumah untuk disewakan kepada anak-anak peneroka Felda yang masih menumpang di rumah ibu bapa mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, 62 kakitangan pelbagai agensi termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selaku penganjur, JKKK, Majlis Daerah Jerantut (MDJ) , Angkatan Pertahan Awam (APM), Rela, Kolej Komuniti Jerantut, Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Padang Piol dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menjayakan program My Beautiful Malaysia di tanah rancangan itu, kelmarin.

Program pertama dianjurkan

KETUA Pegawai AADK Jerantut, Mohd Badrillah Md Piah berkata, program My Beautiful Malaysia di Felda Padang Piol itu merupakan program pertama dianjurkan seumpama itu bagi daerah ini, tahun ini.

Peserta bergotong-royong membersihkan kuarters guru terbiar di Felda Padang Piol supaya tidak lagi menjadi tumpuan remaja melakukan aktiviti tidak sihat.


“Program My Beautiful Malaysia ini dianjurkan bagi membersihkan kawasan-kawasan disyaki menjadi lokasi kegiatan dadah atau berpotensi menjadi lokasi kegiatan dadah.

“Kami memilih lokasi kuarters guru lama Felda Padang Piol ini berdasarkan makluman pihak JKKK bahawa lokasi ini sering menjadi tumpuan remaja, sama ada yang masih bersekolah atau sudah bersekolah ke sini,” katanya.

Hasil daripada kerja-kerja pembersihan dijalankan, mereka menemui sarang remaja hidu gam selain salah sebuah kuarters dijadikan bengkel untuk mengubah suai basikal.


0 comments:

share2