Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 1, 2017

BOMBA, WITA TAK DIDENDANG


Bomba, wira tak didendang


Apabila berlakunya kemalangan atau kebakaran di mana-mana sahaja, sudah pasti kita akan melihat kelibat anggota bomba sebagai petugas pertama yang tiba bagi menyelamatkan mangsa. Bukan itu sahaja, anggota bomba berada di semua lokasi termasuklah kawasan bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Mereka juga ditugaskan untuk menghalang cubaan bunuh diri, menangkap haiwan berbisa malah ada kes menghapuskan sarang lebah! Tugas anggota bomba terlampau luas, seiring dengan masa, tugas mereka semakin lama semakin di luar dari tugas konvensional bomba sebelum ini.

Oleh sebab itulah masyarakat memandang tinggi anggota bomba kerana tugas mereka yang berkhidmat untuk menyelamatkan nyawa. Sempena Hari Bomba Sedunia yang bakal disambut pada Khamis ini di Ipoh, Perak, Sinar Harian akan berkongsi kepada pembaca serba sedikit pengalaman dan tugas anggota bomba.

‘Kita dikelilingi bahan kimia’

Sebut sahaja Unit Bahan Berbahaya atau Hazmat, sudah pasti perkara pertama yang muncul di minda kita adalah anggota bomba yang memakai pakaian ala-ala angkasawan seperti banyak dipaparkan di filem-filem Hollywood. Dengan pakaian itulah yang membuatkan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terkenal kerana keunikannya.

Memakai pakaian yang menutup seluruh badan dan masuk ke lokasi insiden, kita sudah pasti mengetahui lokasi itu mempunyai bahan berbahaya yang boleh mengancam manusia jika tiada peralatan perlindungan.

Berkongsi pengalaman dengan Sinar Harian, Penolong Ketua Pengarah bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Zulkarnain Mohd Kassim berkata, penubuhan Hazmat ini dilihat amat perlu dan mendesak pada era penghujung 80-an dan awal 90-an.

Menurut individu yang menjadi tulang belakang kepada penubuhan Hazmat ini berkata, dengan kepesatan ekonomi dan pembangunan negara pada 1980an, ribuan kilang-kilang dibina di kawasan industri seluruh negara dan kilang-kilang ini sudah pastinya mempunyai bahan-bahan kimia yang merbahaya.

Katanya, melihat keadaan ini, Jabatan Bomba merasakan perlu diwujudkan sebuah pasukan khas bagi menghadapi perkara yang melibatkan bahan-bahan kimia andai perkara tidak diingini berlaku.

“Bomba rasakan perlunya sebuah pasukan yang boleh bertindak balas kepada insiden yang melibatkan kemalangan bahan kimia berbahaya, kerana pada waktu itu sektor industri negara sedang pesat membangun.

“Di negara-negara maju lain, pasukan bomba mereka juga sudah mempunyai pasukan khas bagi menghadapi kemalangan seperti ini. Tetapi di Malaysia kita belum bersedia,” katanya.




Pada 7 Mei 1991, perkara yang amat ditakuti akhirnya berlaku apabila kilang mercun Bright Sparklers meletup di Sungai Buloh, Selangor. Kejadian ini menyebabkan 26 kematian dan lebih seratus orang cedera. Puluhan rumah di sekitar kawasan kilang turut musnah. Media tempatan menyifatkan kejadian ini sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’.

Dilaporkan juga letupan 200 tan belerang ini menyebabkan cermin-cermin tingkap di bandar Seri Manjalara dan Selayang sejauh 7 kilometer dari kilang pecah. Jika kawasan sejauh itu mampu musnah dan rosak, dapatkah anda bayangkan keadaan mangsa yang berada hanya beberapa kaki dari bahan letupan itu ketika ia meletup?

Tragedi kilang mercun ini memberi kesan besar kepada sejarah negara. Ia sekali gus mengubah polisi kerajaan untuk terus mengharamkan mercun dari dihasilkan di negara ini.

Zulkarnain berkata, skala kemusnahan yang diakibatkan oleh letupan kilang mercun ini amat dahsyat dan tidak pernah disaksikan oleh rakyat negara ini.

“Bomba yang datang ke lokasi boleh dikatakan terkejut, kami tidak sangka kemusnahannya amat dahsyat. Mayat dan anggota badan berada di mana-mana. Dari sinilah kita melihat keperluan satu pasukan khas bagi menghadapi kemalangan seperti ini,” katanya.

Katanya lagi, pada tahun yang sama, beberapa anggota bomba dihantar ke United Kingdom (UK) bagi meninjau peralatan dan kemahiran anggota bomba di sana bagi diaplikasikan di sini.

“Apabila mereka balik dari UK, pada 1992, kerajaan memutuskan untuk menghantar 12 orang pegawai perintis untuk berlatih di sana. Sayalah yang menjadi ketua kepada pasukan perintis ini,” katanya.

Setelah selesai menjalani latihan, pegawai perintis ini ditugaskan untuk membentuk organisasi, memilih dan memastikan rekabentuk jentera terbaik bagi kegunaan pasukan bomba.

“Di UK, jentera Hazmat dan jentera memadam kebakaran adalah berasingan. Kita olah supaya satu jentera boleh membawa sekali peralatan Hazmat. Jadi kita sediakan setiap jentera dengan tiga ruang peralatan bagi kes-kes tertentu,” katanya.

Ditanya apakah kes terbesar yang dihadapi Hazmat sejak penubuhannya, Zulkarnain berkata setakat ini kes terbesar adalah kebakaran terminal minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.

Katanya, kejadian itu melibatkan tangki minyak yang menyimpan bahan kimia mudah terbakar dan berlarutan selama beberapa hari.

“Alhamdulillah, latihan yang cukup dan persiapan rapi anggota bomba dan Hazmat, kebakaran ini berjaya dibendung tanpa ada sebarang kecederaan anggota. Kejadian ini juga memastikan pasukan bomba terutamanya bomba perlu bersiap sedia sepanjang masa,” katanya.




Hazmat mahu ‘anggota berminat’

Menjelaskan mengenai keanggotaan Hazmat, Zulkarnain berkata anggota pasukan ini dipilih dari anggota bomba lain yang berminat dan mempunyai sedikit pengetahuan mengenai bahan kimia.

Katanya, Hazmat mahukan anggota yang betul-betul berminat dengan pasukan ini kerana umum mengetahui tugas pasukan ini amat mencabar terutamanya melibatkan kemalangan bahan-bahan berbahaya.

“Di Hazmat, kita berlatih dengan bahan kimia sebenar, kita mahukan anggota benar-benar bersedia dan mengetahui apakah keadaan yang bakal mereka lalui. Jika latihan kita gunakan sedikit bahan kimia, apatah lagi pada insiden yang betul, sudah pasti lebih banyak dan berbahaya. Jadi kita mahukan anggota yang bersedia sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain turut menceritakan beberapa anggotanya pernah tercedera ketika menjalani latihan mengawal bahan kimia.

“Anggota itu tercedera kerana dia tidak mengetatkan topeng muka dan baju. Selepas kejadian ini, sudah pasti semuanya perlu mengikut prosedur ditetapkan. Biar cedera ketika latihan, bukannya ketika kejadian sebenar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata anggota bomba yang mahu menyertai Hazmat perlulah mempunyai tahap fizikal yang baik dan lulus Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT).

“Mereka juga perlulah sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran sains,” katanya.

Berhati-hati dengan bahan kimia

Zulkarnain yang juga lulusan Ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Malaya berkata, orang ramai sebenarnya tidak menyedari mereka dikelilingi oleh bahan berbahaya jika tidak tahu mengawalnya.

Katanya, jika kita mengetahui contohnya seperti tumpahan merkuri seperti yang sering dilaporkan sejak tahun lalu, orang ramai perlu segera keluar dari kawasan tertutup dan mendapatkan udara segar.

“Ramai oleh tidak peduli perkara ini, tetapi sejak pendedahan oleh media dan kempen-kempen yang bomba jalankan, alhamdulillah orang ramai lebih peka kepada bahan kimia di sekeliling mereka,” katanya.

Kata Zulkarnain lagi, penggunaan penyembur serangga secara berlebihan juga berbahaya selain bahan-bahan lain seperti peluntur.

“Sebolehnya selepas sembur, tunggu dulu seketika, jangan lepas sembur racun serangga terus masuk ke dalam bilik,” katanya.


0 comments:

share2