Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 24, 2017

ASEAN PERLU PERATURAN BAHARU TINGKAT KESELAMATAN


Asean


Kuala Lumpur - "Asean perlu menggubal peraturan baharu bersifat inklusif dan boleh diterima semua pihak utama untuk meningkatkan keselamatan serantau," kata pengarah Institut Keselamatan dan Kajian Antarabangsa (ISIS) di Chulalongkorn University, Bangkok, Dr Thitinan Pongsudhirak pada Forum Asia Pasifik (APR) ke-31 di sini semalam.

Beliau berpendapat keselamatan di Asia Pasifik kini berkurangan berikutan ketiadaan rangka kerja tersusun bagi mengurus konflik dan ketegangan.

"Sebagai contoh, di Laut China Selatan kini tiada ketenteraman berlandaskan peraturan dan oleh itu, kita menghadapi keadaan yang kurang selamat," katanya merujuk kepada pertikaian mengenai Laut China Selatan melibatkan tuntutan terhadap pulau dan maritim antara China dan beberapa negara anggota Asean, termasuk Vietnam, Filipina dan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar APR yang bertemakan "Masa Depan Asia-Pasifik: Isu dan Institusi Yang Sentiasa Berubah" selepas berucap mengenai pandangan Asia tentang peranan Amerika Syarikat di Asia.

Thitinan berkata, Asean bukan sahaja memerlukan Amerika, tetapi juga sekutu dan rakan kuasa pertengahan seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan India untuk memainkan peranan lebih besar di rantau ini.

Kata beliau, ini kerana Asean tidak mahu terlalu didominasi sama ada oleh China atau Amerika sebab sebarang ketidakseimbangan dari segi pengaruh boleh membawa ketegangan dan seterusnya mencetuskan konflik, yang tidak baik untuk pembangunan rantau ini.

Beliau berkata rantau ini perlu menseimbangkan kembali kedudukannya untuk mencapai keseimbangan baharu bagi Asean dalam kalangan kuasa besar.

Mengenai pentadbiran baharu Amerika, beliau berkata Asean ingin melihat kesinambungan dan penglibatan Amerika secara tekal di bawah pimpinan Presiden Donald Trump.


0 comments:

share2