Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 24, 2017

MINTA KERAJAAN NEGERI BANTU ISU KECICIRAN PELAJAR


Mahdzir Khalid


Kuala Nerang - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta kerajaan negeri untuk turut sama membantu mencari jalan penyelesaian berhubung keciciran pelajar ke sekolah.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dia telah membentangkan isu keciciran pelajar pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-129 di Putrajaya, semalam.

"Isu keciciran pelajar ini berlaku sebab ada kalangan pelajar yang tidak berminat untuk belajar selain lebih terpengaruh dengan perkara-perkara yang lebih menarik di luar sekolah.

"Namun ada juga berlaku keciciran disebabkan oleh kawasan demografik seperti pelajar yang berada di kawasan pedalaman yang sukar untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan ke sekolah," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Padang Terap 2017 di sini, semalam.

Katanya, pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman dan sukar ke sekolah berikutan tiada pengangkutan lebih terjurus berdepan masalah kehadiran ke sekolah.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mencari cara bagaimana untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar ke sekolah.

"Walaupun kadar keciciran secara keseluruhan tidak berada di tahap kritikal, tapi kita perlu terus mencari jalan bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Mahdzir berkata bagi pelajar yang tidak datang ke sekolah dalam tempoh maksimum 60 hari perbincangan bersama antara pelajar, ibu bapa, sekolah dan PPD akan diadakan bagi mencari penyelesaian.

"Sepatutnya bila pelajar tidak hadir ke sekolah selama seminggu sudah boleh diambil tindakan tetapi kita akan bagi tempoh cubaan dahulu untuk melihat sama ada pelajar tersebut benar-benar ingin belajar atau tidak," katanya.


0 comments:

share2