Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 21, 2017

PROSES BISKUT GANJA DI BANGLO


Proses biskut ganja di banglo


Ampang – Taktik sekumpulan lima sahabat menghasilkan biskut yang dipercayai mengandungi dadah jenis ganja terbongkar apabila sepasukan polis menyerbu dua buah rumah di Bukit Antarabangsa, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, serbuan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu menahan lima lelaki itu di sebuah apartmen, jam 8.55 malam.

“Dalam serbuan itu, kita merampas empat ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja, tiga keping biskut dipercayai mengandungi ganja dan satu bekas berisi serbuk tumbuhan juga dipercayai ganja.

"Salah seorang suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah banglo yang dipercayai menjadi lokasi penghasilan biskut itu berhampiran dengan apartmen yang disewanya," katanya.

Hamzah berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan polis menemukan 34 keping biskut ganja dan ½ keping biskut ganja yang menjadikan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,470.

"Kita akan menghantar kesemua biskut itu untuk dianalisis bagi mengenal jenis dan berat sebenar kandungan dadah,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 24 hingga 27 tahun itu terdiri daripada tiga penganggur dan masing-masing seorang wartawan dan penuntut sebuah universiti termasuk seorang warga asing yang bermastautin di negara ini sejak 10 tahun lalu.

"Kita percaya kesemua suspek itu baru mencuba memasarkan biskut dadah untuk pasaran tempatan secara kecil-kecilan dan salah seorang suspek dipercayai berminat untuk membuat biskut itu di rumah keluarganya bagaimanapun ibu bapanya tidak mengetahui dia membuat biskut dadah.

“Kesemua suspek ini juga dipercayai mencari pelanggan melalui jualan online dengan harga RM150 satu balang dan kita juga percaya suspek juga aktif menjual ketulan mampat dadah ganja sejak satu atau dua tahun lalu,” katanya.

Hamzah berkata, hasil ujian saringan awal urin juga mendapati kesemua suspek positif dadah termasuk salah seorang mempunyai satu rekod lampau membabitkan Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan pernah ditangkap pada tahun 2015.

"Kesemua suspek direman seminggu sehingga 25 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


0 comments:

share2