Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 21, 2017

[MARAN] PENCULIK UGUT POTONG KEPALA


Penculik ugut potong kepala


Lapan bulan berada di bawah cengkaman Abu Sayyaf di Filipina, Mohd Ridzuan Ismail, 33, tidak pernah terfikir bahawa dia dan empat mangsa lain akan diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina.

Katanya, pada mulanya dia beranggapan mereka terlibat dalam operasi pemindahan lokasi.

“Selama lapan bulan dalam tahanan, kami dah biasa pindah lokasi. Berpuluh kali pindah dan tukar askar, jadi saya fikir masa tu pindah lagi. Memang ada dengar bunyi tembakan dan bom mortar. Saya ingatkan Abu Sayyaf berperang lagi.

“Selama dengan mereka, tiga kali kami berdepan perang. Tak tahu dengan siapa, tapi ketika itu masing-masing selamatkan diri sendiri sahaja.

“Bayangkan, tanpa senjata, saya lari dan menyorok. Hanya fikir akan mati. Selepas perang, kami pindah lokasi, Sebab itu tak pernah fikir akan diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah arwah ibu bapanya di Felda Jengka 7, di sini semalam.

Mohd Ridzuan dan isterinya, Hariyanti Hamsih, 32, serta tiga anak mereka, Noridawati, 6; Nur Ain Sofiah, 3 dan Nur Amira Nasuha, 1, tiba di Jengka 7, malam semalam, selepas berada di Kuala Lumpur selama hampir tiga minggu untuk menjalani rawatan di Hospital Selayang.

Dia sekeluarga bersama mangsa culik lain, turut dibawa ke kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohd Ridzuan diculik bersama juragan kapal tunda, Abdul Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45, Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23,

Abdul Rahim dan Tayudin diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi khas di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran Pulau Pulau Pata di Wilayah Sulu, pada 23 Mac lalu.

Manakala, Mohd Ridzuan, Fandy dan Mohamad Jumadil diselamatkan tentera Filipina dalam operasi khas di sebuah kampung di Panglima Estino, Wilayah Sulu, kira-kira jam 11.30 malam pada 26 Mac.

Makan nasi dengan garam

Menceritakan pengalamannya menjadi tawanan, Ridzuan berkata, mereka hanya dapat makan nasi dengan garam.

“Itu pun jika ada lebih. Kalau tak ada, kami puasa. Bab makan saya tak selera dan tak berharap sangat tapi yang penting air. Saya minum air laut atau air lopak. Air dalam tempurung atau apa-apa yang bertakung.

“Itu saja yang saya mampu untuk hidup. Duduk dalam hutan macam-macam dugaannya. Saya pernah tidur di hutan bakau. Disengat lipan bara sampai demam satu hari dan terserempak ular berbisa. Kalau sakit atau demam, tahan sahajalah, tak ada ubat,” katanya.

Meskipun berasakan seperti tiada harapan untuk keluar dari hutan, dia dan rakan-rakannya tidak pernah berhenti berdoa, malah pernah berpuasa dan bernazar supaya ALLAH SWT menyelamatkan mereka.


0 comments:

share2