Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 6, 2017

PERAH DAN MENTARANG - PERJALANAN CAMERON HIGHLANDS MENYUSUR PANTAI PERAK DAN SELANGOR KEMBALI KE PAHANG




Selasa dan Rabu lalu saya ada urusan di Cameron Highlands. Ketika kesana saya melalui jalan dari Kuala Lipis melalui Felda Sg Koyan. Jalannya boleh dianggap sunyi kerana masih tidak banyak kenderaan yang melaluinya, bagaimanapun kita dihidangkan dengan pandangan hutan dan bukit bukau yang menarik terutama bagi saya yang mencintai hutan dalam alam semula jadi.

Selain dari banyak kelihatan rumpun-rumpun buluh dari pelbagai species, saya juga teruja dengan melihat banyaknya pokok-pokok perah yang sangat mudah dikenali kerana ketika ini ianya sedang berpucuk muda. 

Pokok Perah nama saintifik ("Elateriospermum tapos") ialah satu spesies tumbuhan yang tergolong dalam famili Euphorbiaceae, dan merupakan ahli tunggal untuk genus (Elateriospermum), dan tribusnya, (Elateriospermeae). Pokok ini terdapat di Selatan Thailand sehingga Semenanjung Malaysia. Buahnya berbentuk bulat bujur dan beracun tetapi boleh dimakan dengan penyediaan yang betul dengan merebus dan menjeruknya

Sampai di Tanah Rata saya menginap di sebuah Chalet di Taman Sedia yang disediakan oleh pihak penganjur. Cameron Highlands tak banyak beza dari beberapa tahun dahulu cuma kelihatan pembangunannya semakin rancak begitu juga dengan aktiviti pertanian yang semakin pesat.

Perniagaan hasil pertanian di pasar di Brincang juga kelihatan semakin maju, namun pembeli kenalah berhati-hati kerana ada sebahagian hasil tanaman yang dijual sebagai hasil tempatan sebenarnya adalah tanaman yang diimport dari negara asing.

Demikian juga dengan hasil tanaman tempatan yang dijual walaupun kebanyakannya memang segar namun ianya adalah hasil pertanian yang tidak menepati saiz untuk di eksport.

Sengaja saya memilih jalan jauh untuk balik ke Pahang dengan melalui jalan dari Brincang ke Simpang Pulai semata-mata untuk melihat pandangan menarik gunung-ganang dan bukit-bukau serta hutan hujan tropika yang menghijau sepanjang tahun.

Perjalanan saya ini memang saya kira berbaloi tambahan pula dalam perjalanan itu saya melalui Batu Gajah, Kampar, Teluk Intan ke Kuala Selangor. Memang pemandangannya menarik hati saya.

Di sekitar Sekincan saya terlihat banyak papan tanda tertulis 'Mentarang'. Mulanya tidak saya pedulikan kerana tidak memberi makna apa-apa, namun ingatan saya terkenang kembali kepada rencana di sebuah stesen tv mengenainya lalu saya hentikan kenderaan untuk bertanya.

Mentarang merupakan sejenis haiwan bercengkerang (Siput / Kerang-kerangan) yang boleh dimakan. Siput mentarang mempunyai kulit yang nipis dan biasanya lebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah. Nama saintifiknya adalah "Pholas Orientalis"

Siput Mentarang hanya boleh ditemui di pantai yang berselut sahaja seperti di Perlis atau Pantai Sabak, Selangor dan biasanya ia dikutip semasa air surut. Ada yang menganggap ianya sebagai memiliki sifat perangsang seks.

Pengkelasan saintifik siput mentarang: 

Pengelasan saintifik
Alam:Haiwan
Filum:Moluska
Kelas:Bivalvia
Genus:Pholas
Spesies:P. orientalis


Suatu ketika dahulu pencari mentarang mampu mendapatkan hingga 30kg sehari dan menjualnya dengan harga RM10.00 sekilo. Namun kebelakangan ini ianya semakin sukar didapati dan mengakibatkan harganya mencecah RM20.00 - RM25.00 sekilogram.

Saya yang tidak pernah memakannya membeli juga sekilogram sebagai buahtangan untuk dibawa pulang. Menurut penjualnya, ianya boleh dimasak berbagai-bagai dari tumis dan berlada hingga ke masak lemak cili api. Namun menurutnya, dia lebih gemar mentarang bakar yang dimakan dengan cicah air asam.

Saya tidak sabar untuk balik ke Pahang. Negeri tanah tumpah darah... Tahun ini adalah Tahun Melawat Pahang, marilah melihat keindahan yang masih tersembunyi. Sila Klik:  Pelancongan Pahang.

Nota: Sila maklumkan kepada kami sekiranya anda menyukai rencana-rencana perjalanan dan kembara seperti ini dengan memberi komen anda disini. Pandangan dan pendapat anda akan diambil kira.

~ Editor.

0 comments:

share2