JASIN - Pengumpul kereta klasik jenis Mercedes ini mengakui satu kepuasan apabila melihat kereta dalam simpanannya sentiasa bersih dan cantik.
Aimi Abdullah, 44, berkata, minatnya terhadap kereta jenis Mercedes berputik kerana arwah ayahnya pernah memiliki kereta tersebut.
“Saya minat terhadap kereta sejak habis belajar lagi. Kebetulan arwah ayah ada kereta Mercedes lama, jadi saya fikir daripada kereta tersebut terbiar, lebih baik saya betulkan apa yang patut dan simpannya baik-baik.
“Lagipun nilai kereta Mercedes klasik ini sangat tinggi dan ia sentiasa menjadi buruan peminat kereta tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Karnival Gegau Negaraku Sehati @RTM di Stadium Jasin, di sini, semalam.
Berkongsi mengenai obsesinya terhadap kereta tersebut, akui Aimi yang berasal dari Bukit Cina, Melaka, setakat ini dia mempunyai 10 kereta klasik Mercedes dalam koleksinya.
“Saya mula mengumpul kereta Mercedes sejak 10 tahun lalu. Bagi saya, dalam banyak-banyak kereta, Mercedes adalah yang paling tinggi status atau tahapnya berbanding kereta lain.
“Sebab itu saya jatuh hati dengan jenama ini. Lebih-lebih lagi, isteri dan anak-anak menyokong minat saya dan ia membuatkan saya lebih bersemangat,” katanya.
Menurut Aimi, bukan sedikit modal dibelanjakan demi minatnya itu, namun semua itu bukan halangan.
“Ada kereta yang saya miliki tiada enjin, terbiar lama dan diambil di kedai-kedai kereta terpakai.
“Untuk kembalikannya kepada keadaan asal, adakala saya habiskan sehingga RM30,000 untuk sebuah kereta. Namun, ia bergantung kepada penyelenggaraan sesebuah kereta itu. Ada kereta saya hanya perlu keluarkan modal tak sampai RM5,000,” katanya.
Ditanya dari mana dia mendapat komponen gantian bagi kereta tersebut, jelasnya, dia mempunyai sumber tertentu.
“Bila sudah bercampur dengan pencinta kereta Mercedes, mudah nak dapatkan pelbagai komponen yang diperlukan.
“Namun untuk memastikan sesebuah kereta itu sempurna, ia tetap mengambil masa,” katanya.
Bercerita mengenai keretanya yang dipamerkan pada program itu, Aimi berkata, Mercedes klasik jenis 108 itu telah berusia 48 tahun.
Menurutnya, kereta berkenaan antara koleksi terbarunya dan setakat ini dia sudah menghabiskan hampir RM30,000 untuk kenderaan tersebut.
“Apa yang membuatkan saya sangat sayangkan kereta ini kerana keunikannya, ia masih menggunakan enjin asal iaitu enjin diesel dan ia menggunakan bateri lori. Malah bahagian badannya juga sangat klasik dan tahan lasak.
“Bagi peminat kereta Mercedes, kereta jenis ini sangat popular 15 tahun dahulu. Bagaimanapun, ada yang menjadikan kereta ini teksi, dan sekarang apabila mereka tahu nilainya, mereka kembalikannya kepada kereta biasa,” katanya pemilik pertama kereta tersebut merupakan pengusaha francais syarikat kereta Mercedes di Pulau Pinang.
Aimi berkata, dia berasa bangga apabila kereta tersebut sentiasa menjadi perhatian setiap kali dia memandunya.
“Kereta klasik begini sentiasa dipandang tinggi, bila kita menjaganya dengan baik, ia akan sentiasa berkilat dan membuatkan orang terpegun dengannya,” katanya yang memiliki pelbagai koleksi Mercedes seperti 114 dan 202
0 comments:
Post a Comment