Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 3, 2017

ISU RUU355 : SIAPA BENTANG TIDAK SAMA SIAPA SOKONG

Annuar Musa


KUALA LUMPUR – “Isu siapa bentang tidak sama dengan isu siapa sokong, siapa tidak,” kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Justeru, beliau meminta orang ramai tidak terpedaya dengan “spin” pembangkang kononnya UMNO tidak sokong Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Jelas beliau, pembentangan RUU 355 di Parlimen sama ada secara bill persendirian oleh PAS atau pembentangannya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kelak adalah proses yang berbeza.

“Kerajaan BN perlu ada “consensus” dalam parti dulu. Dalam BN ada 13 parti maka kenalah bincang. Bagi saya lebih mudah PAS yang bentang.

“Lagipun ia initiatif PAS. Geng yang tak nak sokong (Pakatan Harapan) usah cari alasan. Tidak salah bagi kita sokong daya usaha PAS jika ia baik untuk Islam. Agama lebih penting daripada parti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memaklumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 di Parlimen berdasarkan keputusan yang diambil BN secara konsensus sekali gus memberi laluan kepada PAS untuk membentangkannya.

Pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan mengambil kesempatan daripada perkembangan itu mengutuk PAS bodoh seperti lebai kerana kononnya ditipu oleh UMNO.

Namun tuduhan itu disangkal ramai pemimpin PAS yang menjelaskan bahawa UMNO tidak menipu PAS.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh di Kelantan seterusnya menegaskan, RUU 355 adalah urusan orang Islam dan pentadbiran Mahkamah Syariah.

“Selagi ia tidak menyalahi syarak dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan kita (umat Islam) wajib sokong walau ia di bawa oleh PAS,” tegasnya.

RUU 355 yang dicadangkan oleh PAS bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah dikecam hebat oleh Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP.

DAP mendakwa RUU 355 strategi halus PAS untuk memperkenalkan hukum Islam hudud yang zalim, kuno dan menindas di negara ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) pula menyifatkan RUU 355 sebagai mengelirukan dan mengundang keresahan bukan Islam.




0 comments:

share2