Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 16, 2017

[LIPIS] MAHU ORANG ASLI UBAH HIDUP CEBURI BIDANG KEUSAHAWANAN


Mahu Orang Asli ubah hidup ceburi bidang keusahawanan


Seramai 30 penduduk Orang Asli Pos Kuala Koyan serta Dusun Pak Senam menyertai latihan membuat kraf tangan dan masakan anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di bawah program Empower Jelai, daerah ini.

ECERDC menerusi program Empower kawasan Jelai itu adalah inisiatif program pembangunan modal insan di 27 lokasi Wilayah ECER kawasan Pantai Timur yang dilancarkan pada 2010.

Ia bertujuan memberi latihan kemahiran dengan menyasarkan belia, suri rumah, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga yang berpendapatan rendah mengubah kehidupan menerusi sektor keusahawanan.

Penduduk Orang Asli dari dua kampung berkenaan antara 2,000 pengusaha dari 12 Wilayah ECER negeri ini yang diberi peluang menyertai kursus seperti jahitan, kraf tangan, masakan, solekan, dandanan dan bidang tertentu sepanjang tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Zulkifli Ya’acob berkata, program latihan kemahiran Empower Jelai itu tepat pada masanya dalam usaha kerajaan membangunkan komuniti Orang Asli setanding dengan kaum lain, menerusi sektor keusahawanan dan perniagaan.

“Program kemahiran kraf tangan dan masakan ini secara inklusif membabitkan penduduk Orang Asli pos di pedalaman serta pinggir bandar negeri ini dengan memfokuskan dalam kalangan ibu tunggal, suri rumah, OKU dan keluarga yang berpendapatan rendah kaum minoriti berkenaan,” katanya, kelmarin.

Sementara itu, Penyelaras Program Empower Jelai, Norhapizah Mohamad Razali berkata, latihan kemahiran kraf tangan dan masakan diadakan secara berperingkat selama 25 minggu di balai raya kampung berkenaan di bawah tunjuk ajar fasilitator dari luar.

“Pembabitan Orang Asli khususnya belia dan suri rumah amat menggalakkan dan mereka menaruh minat untuk mendalami kemahiran kraf tangan membuat beg daripada seluar jean dan masakan kuih-muih,” katanya.


0 comments:

share2