Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 28, 2017

[KUANTAN] KES LIBAT BUAH PINGGANG SERIUS


Kes libat buah pinggang serius


Kes melibatkan kegagalan buah pinggang berpunca daripada obesiti di negeri ini semakin serius.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Shaari Ngadiman berkata, selain mengalami masalah buah pinggang, golongan yang mengalami obesiti turut terdedah kepada penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan hipertensi.

Menurutnya, di Pahang setakat Mac 2017, statistik menunjukkan terdapat 2,000 pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis.

“Jumlah tersebut merangkumi 500 pesakit menjalani hemodialisis (dialisis darah) menggunakan fasiliti Kementerian Kesihatan manakala 1,500 di fasiliti swasta dan NGO.

“Namun begitu, terdapat juga 250 orang pesakit yang menjalani rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) iaitu dialisis air yang boleh dilakukan di rumah manakala 40 orang pesakit telah menjalani pemindahan buah pinggang (transplant).

“Bagi tahun ini, terdapat penambahan pesakit baharu seramai 201 orang yang mula menjalani rawatan hemodialisis dan 45 orang pesakit menggunakan rawatan dialisis air (CAPD),” katanya.

Beliau berkata dalam satu sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat negeri 2017 yang bertemakan Penyakit Buah Pinggang dan Obesiti, diadakan di Taman Bandar, Indera Mahkota, di sini.

Turut hadir, Pengarah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Datuk Dr Ardi Awang dan Ketua Jabatan Nefrologi HTAA, Dr Fariz Safhan Mohamad Nor.

Dalam pada itu, Dr Shaari berkata, sekiranya trend itu tidak dihentikan, berkemungkinan negara akan berada di kedudukan teratas di dunia dengan jumlah kes yang tinggi.

Menurutnya lagi, sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia, rakyat di negeri digesa agar mengamalkan gaya hidup sihat dan memberi penekanan tentang bahaya obesiti serta kesannya terhadap penyakit buah pinggang.

“Obesiti menyebabkan buah pinggang akan bekerja lebih keras untuk menapis darah dan bekerja lebih daripada biasa untuk memenuhi tuntutan metabolik berat badan yang meningkat disebabkan obesiti.

“Pada tahun 2025, obesiti dijangkakan akan memberi kesan kepada kira-kira 18 peratus lelaki dan lebih daripada 21 peratus wanita di seluruh dunia.

“Ia mampu dicegah melalui pendidikan dan kesedaran risiko obesiti dan gaya hidup sihat termasuk nutrisi yang tepat dan sukan kerana ia boleh membantu dalam pencegah penyakit obesiti dan buah pinggang,” katanya.


0 comments:

share2