Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 21, 2017

[ROMPIN] TIDAK BOLEH AMBIL MUDAH


Tidak boleh ambil mudah


Petani tidak boleh ambil mudah kaedah pemutuan sebenar padi yang mula dilaksanakan sepenuhnya pada tahun lalu kerana ia dapat mengurangkan kadar potongan dengan menghasilkan padi bermutu dan berkualiti tinggi.

Bagi menjayakan matlamat itu, amalan pertanian yang baik bermula dari peringkat ladang, manakala Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa berusaha mendidik petani bagi menghasilkan padi berkualiti tinggi selari dengan Malaysian Good Agricultural Practice (MyGap).

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Pahang, Sawalludin Ahmad berkata, pesawah perlu memiliki ilmu berkaitan kaedah pemutuan sebenar padi supaya mereka lebih memahami bagaimana kaedah itu memberi kesan kepada kadar potongan tinggi atau rendah.

Menurutnya, antara aspek yang perlu diambil tahu adalah tahap kandungan wap basah padi, apakah yang dimaksudkan dengan padi rosak, padi muda dan bendasing yang kesemuanya mempengaruhi peratusan potongan.

“Isu pemutuan padi ini akan reda apabila semua petani mula memahami dan mengamalkan kaedah penanaman padi mengikut pengurusan MyGap atau 'rice check' yang lebih terperinci dari mula hingga padi boleh dituai.

“Dua kaedah ini berhubung rapat dengan cara pengurusan baik yang perlu diamalkan setiap petani dan pihak berkaitan seperti operator traktor serta jentuai dalam menghasilkan padi berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus Pemutuan Padi Sebenar dan program Jalinan Tani Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melibatkan 300 peserta di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam.

Majlis anjuran Nafas dengan kerjasama LPP dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin itu dirasmikan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin; Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Rompin, Datuk Md Rusli Ismail.

Sawalludin berkata, program Jalinan Tani yang dianjurkan itu sangat bermanfaat kerana ia adalah medium bagi menyalurkan maklumat kepada petani berkaitan kaedah amalan baik atau kemudahan disediakan kerajaan.


0 comments:

share2