Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 21, 2017

[KUANTAN] BANJIR TAK JEJAS KEDATANGAN PELANCONG KE PAHANG


 Visit pahang 2017


Bencana banjir yang melanda pada Januari lalu tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini, malah Pahang menerima kunjungan yang menggalakkan biarpun musim tengkujuh.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, pelbagai aktiviti bersesuaian musim tengkujuh dirancang sekali gus menangkis tanggapan orang ramai yang mengatakan tidak sesuai untuk mengunjungi negeri ini pada ketika ini.

"Sebenarnya kawasan pelancongan tidak terjejas dengan banjir, tetapi kadang-kadang kerana berita itu (mengenai banjir) tersebar, ia turut memberi sedikit kesan.

"Bagaimanapun dengan menganjurkan acara sebegini (sukan air Balok Wind Challenge 2017) kita boleh menangkis tanggapan bahawa musim hujan tidak sesuai melancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup acara Balok Wind Challenge 2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas di Pantai Balok dekat sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Idros Yahya dan Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner, Abdul Aziz Salleh.

Ishak berkata, lebih 60 peminat sukan air dari dalam dan luar negara termasuk Hong Kong, Thailand, Jepun dan United Kingdom menyertai pertandingan itu.

Aktiviti sukan air yang dirancang pihaknya seperti Tioman Surfestival 2017 dan Balok Wind Challenge 2017 merupakan antara tarikan utama yang menggalakkan kedatangan pelancong pada musim tengkujuh.

Beliau berkata sehubungan itu Tourism Pahang begitu optimis untuk mencapai sasaran kedatangan 15 juta pelancong tahun ini sempena Tahun Melawat Pahang 2017 walaupun dilanda musibah banjir pada awal tahun lalu.


0 comments:

share2