Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 22, 2017

[JERANTU] BERANG GAJI DIBAYAR TAK KONSISTEN


Berang gaji dibayar tak konsisten


Tidak dibayar gaji secara konsisten dan ada yang tertunggak menimbulkan rasa berang 44 pengawal keselamatan di enam sekolah sekitar Lembah Tembeling.

Susulan itu satu laporan polis dibuat ke atas syarikat yang menguruskan semua pengawal keselamatan terbabit, kelmarin.

Difahamkan laporan polis berkenaan adalah yang kedua dibuat, di mana pertama kali pada April tahun lalu.

Salah seorang daripada mereka, Mohd Herman Mamat, 34, mendakwa, masalah bayaran gaji yang tidak menentu bermula sejak Januari tahun lalu selepas perkhidmatan pengawal keselamatan di enam sekolah itu diambil alih syarikat baharu yang berpusat di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dalam perjanjian yang dibuat, mereka sepatutnya menerima gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan termasuk kerja lebih masa dan sebagainya.

Namun katanya, mereka hanya menerima bayaran gaji pada Februari, namun bayaran yang diterima tidak seperti slip gaji yang dipamerkan iaitu sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan sahaja.

“Keadaan itu berterusan pada bulan berikutnya di mana ada ketikanya kami langsung tak dibayar gaji untuk bulan seterusnya. Boleh dikatakan setiap bulan gaji yang diterima tak mencukupi.

“Kami juga sepatutnya terima gaji pada setiap tujuh hari bulan, namun ia tidak seperti yang tertera dalam kontrak kami. Apabila kami merungut beberapa kali kepada pihak syarikat, barulah gaji kami dibayar,” katanya.

Tambahnya, apa yang lebih menghairankan apabila mereka terlebih dahulu menerima slip gaji memaparkan gaji penuh, namun gaji dimasukkan menerusi akaun bank tidak seperti yang dipaparkan.

“Dalam slip gaji ada ditulis pemotongan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) setiap bulan, tapi apabila kami semak dengan KWSP, bayaran yang dibuat hanyalah pada bulan November tahun lalu saja.

“Kami tak diberikan apa-apa penjelasan berkaitan masalah yang dihadapi syarikat. Malah ada ketikanya mereka langsung tidak membalas mesej dan menjawab panggilan telefon kami,” katanya.

Mohd Herman mewakili kesemua pengawal keselamatan terbabit memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut bayaran gaji yang tertunggak.

Selain itu, dia turut menggesa syarikat yang mengendali mereka ditukar kepada syarikat lain.

“Saya juga ucapkan terima kasih atas keprihatinan Adun Tahan yang menyampaikan sumbangan kepada kami selain turut bantu menyelesaikan masalah kami ini,” katanya.

Janji langsai tunggakan

Juliana Hasan, 39, pula berkata, selepas laporan polis dibuat untuk pertama kali pada April tahun lalu, pihak syarikat yang bertanggungjawab telah hadir bertemu semua 44 pengawal keselamatan di bawah syarikat itu pada Jun tahun lalu.

“Apa yang mereka janjikan ketika itu ialah mereka akan melangsaikan segala bayaran yang tertunggak pada Oktober tahun lalu dan minta kami bersabar, namun sehingga kini kami masih belum menerima sebarang bayaran,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, apabila mereka langsung tidak menerima bayaran gaji yang dibuat pihak syarikat terbabit mulai tahun ini.

Juliana yang merupakan ibu tunggal menyara empat anak masih bersekolah berkata, bayaran gaji tidak menentu menjejaskan perbelanjaan hariannya sekeluarga.

“Saya tak dapat bayar yuran asrama anak-anak saya. Malah, banyak juga bil serta hutang yang tertunggak disebabkan syarikat yang tidak membayar gaji secara konsisten,” katanya.

Seorang lagi pengawal keselamatan, Mohd Azlizal Shaharudin, 30, berkata, sejak bayaran gaji diterima secara tidak menentu, perbelanjaan adiknya yang masih belajar dan ibu bapa yang tinggal bersamanya turut terganggu.

“Saya rasa terkilan dan sedih sebab kebelakangan ini saya tak dapat memberikan wang belanja kepada adik dan emak ayah saya,” katanya.

Syarikat salahkan pihak lain

Masalah pengawal keselamatan terbabit kemudiannya diajukan kepada Adun Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak di Pejabat Adun Tahan, di sini, semalam.

Dalam pertemuan yang diwakili wakil Adun Tahan, Datuk Norbaiti Abu Bakar itu, satu panggilan telefon telah dibuat kepada syarikat berkenaan.

Namun alasan yang diberikan syarikat tersebut begitu mengecewakan apabila wakil syarikat bertindak menuding jari kepada pihak lain yang dikatakan menjadi punca kepada kelewatan bayaran yang dibuat.

Pihak syarikat berkenaan turut mendakwa pengawal keselamatan tidak menyerahkan tiket (penanda waktu bekerja) kepada pegawai operasi yang sepatutnya datang berjumpa dengan setiap pengawal keselamatan terlibat, sekurang-kurang dua kali dalam sebulan mengakibatkan bayaran tidak dapat diteruskan.

Norbaiti berkata, pihak Adun Tahan akan membantu mencari penyelesaian masalah itu.

Bagi meringankan beban yang ditanggung, Adun Tahan menyumbangkan bantuan RM1,000 kepada setiap mangsa semalam.


0 comments:

share2