"Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu,” (Riwayat Bazzar dan Thabarani).
Demikianlah sabda Nabi Muhammad SAW yang tercatat di dalam hadis Baginda membabitkan aktiviti memanah.
Memanah adalah seni, amalan atau kemahiran yang boleh melatih emosi dan fizikal seseorang untuk meletakkan target pada satu sasaran di mana ia juga menitik beratkan keseimbangan badan.
Dalam mendekati aktiviti memanah yang semakin diminati ramai, Sinar Harian sempat berkunjung ke padang Masjid Sayidina Uthman Ibn Affan, Bukit Rangin, di sini yang menyediakan aktiviti berkaitan memanah terutama melibatkan generasi muda dan qariah di kawasan sekitar.
Tinjauan mendapati kebanyakan ibu bapa menyedari kebaikan yang tersirat di sebalik aktiviti itu khususnya kepada perkembangan minda, emosi dan daya tumpuan kanak-kanak.
Pengerusi Kelab Memanah Sayydina Uthman (SUAC), Masjid Sayidina Uthman Ibn Affan, Ruzman Yusof berkata, aktiviti memanah dapat membantu individu terutama generasi muda membentuk emosi positif, membina konsentrasi, sabar dan berdisiplin tinggi selain membantu mengatasi rasa ketakutan.
Katanya, memanah merupakan aktiviti yang sesuai dan mudah untuk disertai oleh semua lapisan masyarakat malah ia dilihat tidak membebankan dari segi kos.
“Sebelum ini, masjid ini pernah membuka aktiviti memanah yang disertai golongan belia tetapi lama-kelamaan ia semakin suram kerana kebanyakan mereka sudah beralih ke tahap lebih tinggi.
“Memandangkan ia merupakan aktiviti sunah, kita buka kembali dengan memilih memanah secara tradisional yang dirasakan lebih sesuai kepada umum.
“Selain beriadah, dalam masa yang sama dapat menarik lebih ramai qariah beribadah dan mengimarahkan masjid ini,” katanya.
Tambahnya, kelab memanah yang kembali aktif sejak sebulan lalu, sudah menerima lebih kurang 30 ahli baharu terdiri daripada kanak-kanak berusia 7- 12 tahun.
Dalam pada itu, bagi jurulatih SUAC, Ahmad Zamzamiri Ahmad, untuk menarik minat generasi cilik dalam aktiviti yang memerlukan ketajaman minda, fokus dan disiplin ini sedikit mencabar kerana memerlukan kesabaran.
“Pemanah cilik ini perlu ditanam minat kepada aktiviti ini dengan kaedah ‘belajar dan main’ terlebih dahulu serta dalam masa yang sama menekankan aspek keselamatan melalui disiplin diri.
“Sebagai permulaan kita hanya memberi peluang kepada anak-anak ini menguatkan otot-otot mereka kerana ia memerlukan daya kekuatan yang tinggi dan dalam masa sama kita memberi mereka peluang memanah dengan jarak kira-kira lima meter menggunakan anak panah yang sudah diubah suai demi keselamatan.
“Apabila sudah boleh menguasai, baru kita pertingkat penguasaan dan kemahiran mereka memanah sambil bergerak. Ia memerlukan tahap fokus yang tinggi apabila tangan, kaki, otak, hati dan jantung bergerak seiring memainkan peranan,” katanya.
Menurut Ahmad Zamzamiri, jelas terbukti memanah mempunyai pelbagai manfaat membuatkan dia bersetuju melatih lebih ramai kanak-kanak dan generasi baharu dalam aktiviti ini.
“Kita bukanlah ingin memberikan mereka kemahiran berperang atau bersenjata, tapi yang penting kesan positif di sebaliknya.
“Antara kelebihan lain ia merupakan pembangunan motor, meningkatkan koordinasi deria dan kekuatan tubuh di bahagian atas kebiasaannya boleh dirangsang dengan baik oleh kanak-kanak.
“Jadi teknik membidik ini sekiranya dilatih dengan baik akhirnya boleh melahirkan semangat wira bukan sahaja dalam diri anak-anak malah sesiapa sahaja yang menceburkan diri dalam aktiviti ini,” katanya.
Bagi pemanah cilik, Mohd Razif Mohd Rosdi, 9, yang sudah mula menceburkan diri dalam aktiviti ini di awal usia enam tahun sudah mula meminati aktiviti tersebut yang banyak mengajarnya lebih fokus.
“Mula-mula dulu memang rasa susah, tapi dengan dorongan ibu ayah dan latihan yang banyak saya dah mula fokus,” katanya.
Mohd Haris Zaim Zulkifli, 11, pula berkata, fokus dan disiplin adalah perkara paling penting yang perlu ada pada pemanah.
“Pada awalnya memang anggap permainan ni biasa saja, tapi bila tengok ayah selalu berlatih kat rumah, saya pun terasa nak mencuba," katanya.
0 comments:
Post a Comment