Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 4, 2017

ENAM DISYAKI DIJANGKITI ROTAVIRUS




Rotavirus


Baling - Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di sini ditutup sementara susulan enam kes kanak-kanak dimasukkan ke Hospital Kulim disyaki dijangkiti Rotavirus selepas mandi di pusat berkenaan sejak 1 Februari lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati kesemua kanak-kanak terbabit berusia antara dua hingga 11 tahun itu pernah mengunjungi pusat reakreasi itu pada 30 Januari lalu antara jam 1 hingga 4 pagi.

"Mereka terdiri daripada tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan dari dua keluarga berlainan bangsa dimasukkan ke Hospital Kulim pada 1 hingga 3 Februari dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Notifikasi berhubung kejadian disyaki jangkitan Rotavirus diterima daripada pihak hospital oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulim, pada jam 11 pagi, hari ini (semalam)," katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.

Tambah beliau, keputusan setakat ini mendapati dua kes adalah positif. Bagi empat lagi kes masih menunggu keputusan ujian berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengambil beberapa tindakan segera bagi membendung masalah itu.

"Semua pengarah hospital dan pejabat kesihatan daerah diminta bersedia. Dalam masa sama, orang ramai yang mempunyai sejarah melawat Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong dari tempoh 25 Januari hingga 3 Februari lalu diminta mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan jika mempunyai simptom demam berterusan, muntah dan cirit birit dan sebagainya.

"Pejabat Kesihatan Daerah Baling juga menjalankan siasatan lanjut mengenai Rotavirus," katanya.


0 comments:

share2