Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 1, 2017

BN CALONKAN ISTERI ALLAHYARHAM ADENAN SATEM


Puan Sri Jamilah Anu


Kuching - Puan Sri Jamilah Anu, isteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjong Datu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Februari ini. 

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK Dun Tanjong Datu di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini petang tadi.

"Saya berbincang dengan seluruh pimpinan parti PBB dan pimpinan BN, bahawa calon yang akan mewakili BN di PRK Tanjong Datu ialah Puan Sri Jamilah Anu, balu kepada bekas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem," katanya.

Terdahulu Abang Johari mempengerusikan dua mesyuarat khas PRK DUN Tanjong Datu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB sebelum meneruskan mesyuarat bersama pimpinan kanan BN Sarawak. 

Ketika ditanya sama ada Jamilah, 62, sudah dimaklumkan mengenai pencalonan itu, Abang Johari berkata: "Kami telahpun membayangkan perkara ini kepadanya dan beliau juga membayangkan kesediaannya untuk menjadi calon."

Abang Johari berkata keputusan memilih Jamilah sebagai calon juga dipersetujui semua parti komponen BN Sarawak.

"Semua parti komponen bersetuju sebulat suara dalam menyokong Jamilah sebagai calon kami dan pencalonan beliau dipersetujui Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Mengenai Jamilah, Abang Johari berkata beliau adalah seorang yang sentiasa mengiringi Adenan semasa menjalankan tugas yang diamanahkan ketika Allahyarham berkhidmat sebagai Anggota Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Menteri.

"Jamilah juga kenal dengan pimpinan dan rakyat di kawasan Tanjong Datu yang berbilang kaum serta agama dan mereka menerima pencalonan daripada PBB ini.

"Saya yakin bahawa sepertimana sokongan telah diberi kepada Tok Nan begitu juga sokongan akan diberi kepada Jamilah," katanya.

Ketika ditanya sama ada Jamilah akan terlibat dalam kempen PRK Tanjong Datu berikutan masih dalam tempoh edah, Abang Johari berkata urusan berkempen akan dilaksanakan oleh pihaknya.

"Kami akan berkempen bagi Jamilah, bagaimanapun beliau sendiri yang akan menyerahkan kertas pencalonannya, dan selepas itu dia tak ada (semasa berkempen)... kita yang buat (menjalankan kempen)," katanya.

Ditanya sama ada BN Sarawak akan melancarkan manifesto baharu pada PRK Tanjong Datu, Abang Johari berkata mereka akan meneruskan segala perancangan Allahyarham Adenan dan manifesto pilihan raya pula akan dilancarkan selepas proses penamaan calon.

Jamilah, yang berasal dari Bau, Sarawak, dilahirkan pada 14 Ogos 1955 dan merupakan Pengarah Yayasan Jaznan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Stephen, Bau (1962 – 1967l) dan Sekolah Menengah Kerajaan, Bau (1968 – 1972) sebelum memperoleh Diploma Sains Kesetiausahaan daripada Universiti Teknologi Mara Cawangan Sabah.

Ibu kepada dua cahayamata ini - Aziza dan Azizul Anuar - juga merupakan Penaung Persatuan Puteri Islam Malaysia, Penaung Persatuan Kanak-kanak Terencat Akal (PERKATA), Penaung Persatuan Pengasuh & Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak dan Pengerusi Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Sarawak (SABATI).

Atas khidmat bakti itu, beliau dianugerahkan Pegawai Bintang Sarawak (PBS), Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS), Pingat Peringatan Delima (PPD), Pingat Bakti Emas (PBE) dan Datuk Amar Bintang Kenyalang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Tanjong Datu diadakan pada 18 Februari manakala penamaan calon pada 4 Februari.

PRK itu diadakan berikutan kematian Adenan akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.


0 comments:

share2