Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 1, 2017

BUDAK DAKWA DICULIK VAN PUTIH MENGAKU REKA CERITA


Budak Dakwa Diculik Van Putih Mengaku Reka Cerita


Sejak semalam, media sosial digemparkan dengan berita kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang nyaris diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih di Kampung Endah, Banting, Selangor.

Namun, siasatan polis akhirnya mendedahkan bahawa kanak-kanak berusia 11 tahun itu hanya mereka cerita kononnya pernah diculik tiga lelaki bertopeng dan mereka menaiki van berwarna putih.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, mangsa mengaku membuat rekaan cerita mengenai kejadian tersebut kerana takut dimarahi bapanya susulan lewat pulang ke rumah.

“Kanak-kanak itu mereka cipta kononnya tiga orang lelaki bertopeng cuba menariknya masuk ke dalam kereta dan berjaya melepaskan diri dengan mengigit tangan suspek.

“Pihak polis meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian memandangkan kes ini tiada unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi perkongsian abang mangsa di laman Facebook, ID Ris memaklumkan adiknya Muhammad Arifuddin Hussin berjaya melarikan diri selepas diculik kira-kira 9.30 malam ketika dalam perjalanan pulang dari masjid.

Kanak-kanak lelaki tersebut pulang ke rumah dalam keadaan selamat selepas hampir empat jam ‘diculik’.

Kejadian membabitkan kanak-kanak yang membuat cerita rekaan kononnya diculik bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini pada Julai 2016, seorang budak lelaki berusia 12 turut mendakwa dia diculik di Kangar, Perlis.

Pada akhir 2015 juga, rakyat negara ini tertipu dengan ‘lakonan’ hebat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun selepas penyebaran audio perbualan yang merintih minta diselamatkan kerana mendakwa diculik dengan van putih.

Siasatan polis akhirnya mendedahkan pelajar tingkatan dua yang tinggal di Pelabuhan Klang itu sebenarnya sengaja mereka cerita kerana mahu hidup bebas dan ditemui bersama teman lelakinya.


0 comments:

share2