Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 1, 2017

BILA NAK SEDAR?


Bila nak sedar?


Bachok - Buat sekian kalinya rungutan orang ramai dapat dilihat di laman sosial peribadi dan kumpulan mengenai kebersihan di pesisir Pantai Irama, Bachok.

Minggu lalu beberapa individu mula menyebarkan pengunjung bersantai dalam suasana pantai dipenuhi sampah sarap dan longgokan kayu.

Masalah kebersihan pantai ini bukan baru, malah boleh dikatakan empat lima kali setahun isu ini akan disebarkan dalam laman Facebook, malah pernah menjadi tular dalam sebuah laman tersohor tahun lalu.

Pada 13 Januari lalu, seorang lelaki memuat naik statusnya bersama gambar yang menyatakan ‘Pantai Irama sekarang semakin banyak sampah, mohon kerjasama orang kita. Tong sampah sudah disediakan kenapa buang merata. Saya jalan di pantai tadi terpijak lampin pakai buang, kasut dipenuhi najis. 

'Nak marah rasanya nak gelak pun ada. Lampin pakai buang yang ada najis pun buang merata juga. Teruk betul macam ni. Ini jenis yang di rumah lempar sahaja sampah melalui tingkap. Jagalah kebersihan orang kita, nama lagi pantai pelancongan Islam’.

Status itu sekali lagi dikongsi pengguna di kumpulan lain yang menambah kenyataan bertulis 'Teruk sangat pantai di Bachok. Tandas busuk, najis berselerak di mangkuk jamban. Tandas tiada pintu dan lampu. Tepi pantai pula penuh sampah. Tetapi masih syok sendiri tulis Bandar Pelancongan Islam. Saya malu’.

Status yang dimuat naik itu menggambarkan sebahagian besar sikap pengunjung Pantai Irama tidak menitik beratkan aspek kebersihan.

Situasi ini bertambah teruk pada hari minggu selepas pengunjung membawa pelbagai bekalan makanan sama ada dibeli di pasar malam berdekatan atau dibawa dari rumah.



Malu pada pelancong

Pengunjung, Rohana Rashid, 41, berkata, suasana di sebahagian besar Pantai Irama kini begitu tidak memuaskan kerana terdapat banyak sampah di tepi pantai yang tidak dibersihkan.

Katanya, keadaan sedemikian amat memalukan jika pelancong atau pengunjung luar datang ke situ.

“Saya tak pasti siapa yang bertanggungjawab atas kebersihan di sebelah Sungai Bachok ini, tetapi banyak sampah yang berselerak di tepi pantai selain kayu hanyut yang mungkin dibawa arus ombak besar baru-baru ini,” katanya semalam.

Bagi Setiausaha Perantau Bachok, Nasrul Mohamed, kesedaran pengunjung masih rendah dan ia merugikan daerah Bachok yang ingin bergerak selangkah ke depan sebagai pusat pelancongan Islam.

“Kami sendiri sudah banyak membuat promosi dan meletakkan banyak tong sampah di sekitar pantai untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai aspek kebersihan persekitaran pantai.

“Namun kesedaran pengunjung masih rendah. Mentaliti mereka mungkin sukar diubah jika ia tidak diterapkan sejak dari kecil lagi,” katanya.



Bukan tugas PBT 

Setiausaha Majlis Daerah Bachok (MDB), Muhammad Zaidi Mat Jusoh berkata, masalah kurang kesedaran mengenai aspek kebersihan menjadi faktor utama pencemaran sampah di pesisir Pantai Irama.

Beliau berkata, pihak MDB menyediakan beberapa pekerja kontrak untuk membersihkan kawasan ini setiap hari, namun ia tidak dapat menampung longgokan sampah yang dibuang ribuan pengunjung.

“Sepatutnya kita kena main peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) laksanakan tugas mereka untuk kutip sampah yang dibuang dalam tong sampah dan bukannya mengutip sampah yang berselerak di merata tempat.

“Banyak kerjasama dilakukan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong program kebersihan ini, namun sikap orang ramai tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rungutan orang ramai mengenai tahap kebersihan di Pantai Irama yang menjadi tular di laman Facebook, baru-baru ini.

Selain tong sampah yang disediakan MDB, NGO Perantau Bachok juga telah mengambil inisiatif meletakkan tong sampah sekitar pantai itu, namun malangnya terdapat sebahagian besar tong sampah baharu itu dikatakan hilang.

Sinar Harian mendapati hampir setiap bulan pelbagai badan bukan kerajaan, institusi pendidikan, pelajar sekolah, agensi kerajaan dan swasta datang membersihkan Pantai Irama, namun ia hanya bertahan beberapa hari sebelum Jumaat seterusnya tiba dengan longgokan sampah lain.


0 comments:

share2