Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 7, 2017

[ROMPIN] BUMBUNG MELAYANG SEJAUH 80 METER


Bumbung melayang sejauh 80 meter


Pelajar asrama lelaki Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah (KVSAS) melalui detik cemas apabila lima blok bangunan yang menempatkan 567 pelajar itu dilanda ribut sekitar jam 6 petang semalam.

Angin kuat berserta kilat dan petir itu telah merosakkan bumbung blok E dan menerbangkan sebahagiannya melepasi blok A setinggi kira-kira 100 kaki yang berada di hadapan sebelum jatuh berhampiran dua pondok rehat.

Pengarahnya, Mohd Azman Mohd Akhir, berkata, tiada pelajar yang cedera dalam kejadian itu kerana ketika itu kebanyakan pelajar berada di dewan makan untuk makan malam sebelum bersedia untuk solat maghrib.

Menurutnya, angin kuat yang datang dari arah pintu utama masuk ke kolej itu telah menyebabkan bumbung rosak masing-masing sebahagian jatuh ke bawah bangunan manakala sebahagian lagi terbang sejauh 80 meter sebelum jatuh.

“Jika lihat pada keadaan bahagian bumbung yang diterbangkan angin itu menunjukkan ia memang kuat kerana melepas bangunan blok A setinggi kira-kira 100 meter sebelum jatuh dengan jarak dalam 80 meter.

“Kita bernasib baik kerana tiada pelajar yang cedera, bimbang dengan arus elektrik akibat kerosakan pada kabel yang juga tercabut dan jatuh, pihak pengurusan menempatkan pelajar di surau sebelum pihak TNB datang bagi memutuskan bekalan elektrik,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang agak terkejut dengan kejadian itu telah mengarahkan semua pelajar membaca yasin dan solat hajat selepas menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum masing-masing dibenarkan pulang ke bilik.

Dalam pada itu, Mohd Azman menzahirkan kebimbangan kerana bangunan blok E yang terjejas itu turut merosakkan pendawaian elektrik, katil, tilam, loker dan almari sekali gus mendatangkan masalah bagi menempatkan 240 pelajar baharu yang mendaftar pada 22 Januari depan.

“Setakat ini kita akan cuba tempatkan sementara pelajar-pelajar baharu bersama senior di blok A, B, C, dan D atau sebahagian lagi mungkin di surau sehingga bangunan blok E itu dibaiki serta selamat untuk diduduki.

“Berdasarkan situasi ini, saya harap pihak berkenaan dapat menyegerakan bantuan dan sumbangan supaya ia dapat dibaik pulih secepat mungkin sebelum kemasukan pelajar baharu, jumlah kerugian saya anggarkan lebih RM200,000,” katanya.


0 comments:

share2