Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 6, 2017

RITZ AIRLINES TIDAK MILIKI LESEN BAWA JEMAAH UMRAH


umrah


Kuala Lumpur - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengeluarkan surat amaran kepada Ritz Airlines Berhad (Ritz Airlines) untuk berhenti memasarkan perkhidmatan sebagai syarikat penerbangan komersial bagi membawa jemaah umrah.

Ini kerana syarikat itu tidak memiliki Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang sah.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Mavcom dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini.

"Ini bermakna Ritz Airlines tidak boleh meminta, menuntut, menerima atau mengutip sebarang bayaran, pertimbangan, ganjaran atau faedah yang diperoleh daripada operasi perkhidmatannya atau dari mana-mana pihak.

"Ini juga termasuk lain-lain aktiviti untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Mavcom dan kementerian berkenaan menerima maklumat bahawa Ritz Airlines telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Marwa Vacations untuk mengendalikan 32 penerbangan umrah bagi laluan Kuala Lumpur-Jeddah dan Kuala Lumpur-Madinah.

Ia memetik laporan berita yang menyatakan syarikat itu merancang memulakan operasi penerbangan pada Februari dengan menawarkan tiket pergi dan balik berharga RM2,950. 

Kenyataan itu berkata Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kini menyiasat Marwa Vacations kerana syarikat tersebut tidak dilesenkan oleh kementerian berkenaan.

Suruhanjaya dan kementerian berkenaan turut menggesa orang ramai supaya berwaspada apabila membuat sebarang pelan penerbangan dan perjalanan bagi ibadah umrah untuk mengelak kesulitan.


0 comments:

share2