Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 6, 2017

TANGKAPAN KSU: 'NILAI RAMPASAN MELEBIHI RM6 JUTA'


dsadf


Shah Alam - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini telah berjaya merampas beberapa lagi aset ketua setiausaha sebuah kementerian yang ditahan atas dakwaan rasuah semalam menjadikan jumlah terkumpul yang dirampas melebihi RM6 juta.

Difahamkan, perkembangan hari ini menyaksikan SPRM, telah membuka peti simpanan emas di sebuah bank serta merampas seberat 8kg yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta berhubung kes itu.

Menurut sumber, SPRM turut membuka beberapa peti simpanan di bank lain dan merampas wang tunai hampir RM1 juta termasuk AUD 80,000 (RM261,687.20).

"Selain itu, SPRM turut menyita sebuah MPV Toyota Estima milik anak suspek di rumahnya," petik kenyataan sumber itu.

Semalam, seorang ketua setiausaha sebuah kementerian bergelar Datuk ditahan SPRM atas dakwaan rasuah salah guna kuasa.

Datuk terbabit ditahan jam 8 pagi semalam di rumahnya di Subang Jaya, di sini.

Beliau disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya meminta rasuah .

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, KSU berusia 59 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai kebebasan dalam menentukan dan melantik kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan tertentu.

Dalam pada itu, suspek berkenaan dikatakan mempunyai lebih 10 lot tanah atas nama ahli keluarga di sekitar Lembah Klang dan difahamkan SPRM kini sedang membuat pengesahan serta menilai tanah-tanah terbabit.

Kata sumber itu lagi, SPRM juga akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan sama ada suspek berkenaan pernah membuat pembayaran sebarang cukai sejak 2010.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat-maklumat tersebut dan berkata tiada tangkapan baru dibuat setakat ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes ini.

Hari ini seorang KSU dan dua anak lelakinya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan KSU yang berumur 59 tahun itu bermula hari ini sehingga 11 Januari.


0 comments:

share2