Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 4, 2017

PUSAT PEMINDAHAN DINAIKI AIR


Banjir baru


Kuala Berang - Sudah jatuh ditimpa tangga! 

Situasi berkenaan dihadapi mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Seri Puteh, Tok Lawit apabila mereka terpaksa dipindahkan kali kedua ekoran pusat pemindahan itu dinaiki air sejak lewat petang semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tok Lawit Suhaimi Ali berkata seramai 137 mangsa daripada 46 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Ping dan Surau Al Hidayah Kampung Tok Lawit kira-kira 300 meter dari dewan tersebut. 

"Masa maghrib tu air mula masuk ke kawasan dewan yang kita jadikan pusat pemindahan...bimbang dengan keadaan tersebut, kita pindahkan mangsa ke tempat lebih selamat. 

"Hujan yang turun dengan lebat juga menyebabkan keadaan bertambah buruk dan air semakin meningkat hingga menyebabkan lebih ramai penduduk dipindahkan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Suhaimi berkata pihaknya juga turut memindahkan bekalan makanan dan kelengkapan mangsa banjir ke dua pusat pemindahan tersebut. 

"Kita terpaksa membuka dua pusat pemindahan kerana surau tidak dapat menampung jumlah yang ramai...jadi kita ambil keputusan untuk tempatkan warga emas di surau. 

"Kawasan sekolah dan surau ini juga dinaiki air tetapi mujurlah sekolah ini dua tingkat," katanya. 

Suhaimi berkata sehingga pukul 10 malam ini seramai 213 mangsa daripada 72 keluarga di kampung tersebut dipindahkan. 

Dalam pada itu penduduk Kampung Pasir Simpul juga terpaksa dipindahkan ke sekolah tersebut setelah masjid kampung itu yang dijadikan pusat pemindahan sementara turut dinaiki air sehingga satu meter. 

Sehingga jam 11 malam ini kerja-kerja memindahkan mangsa yang dibantu pasukan tentera daripada Rejimen Askar Wataniah Kem Padang Midin masih berjalan.

Mangsa banjir yang turut dipindahkan juga terdiri daripada warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.

Sementara itu, dua petugas Bernama, iaitu jurugambar Arjasneh Ahmad dan pemberita sambilan Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan yang membuat liputan di kawasan berkenaan turut bermalam di pusat pemindahan itu. 

Menurut Nik Nur Izzatul, situasi itu berlaku ekoran kenderaan tentera yang dinaiki mereka ketika membuat liputan banjir siang tadi tidak lagi boleh mengharung air kerana paras air yang melimpahi jalan semakin tinggi. 

"Pada mulanya saya agak cemas apabila diberitahu oleh anggota tentera yang mengiringi kami ketika membuat liputan tadi bahawa jalan keluar tidak lagi boleh dilalui oleh sebarang jenis kenderaan termasuk kenderaan tentera. 

"Pelbagai andaian bermain di kotak fikiran di manakah saya dan jurugambar akan bermalam sementara tunggu hari siang dalam keadaan hujan dan berpakaian sehelai sepinggang. 

"Mujur akhirnya kami selamat tiba di pusat pemindahan ini, dapat kami berehat sebentar sementara menunggu hari esok. 

"Saya berharap sangat keadaan banjir semakin pulih dan dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa esok," katanya ketika dihubungi malam tadi.


0 comments:

share2