Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 4, 2017

DENDA LEBIH RM200,000 DIKENAKAN SPAD


SPAD


Sepang - Lebih RM200,000 jumlah denda dikenakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada individu-individu yang mengambil penumpang secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 melalui tangkapan yang dijalankan sepanjang tahun lepas.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi penguatkuasaan yang dilakukan secara berterusan sepanjang 2016 itu membabitkan 58 kes tangkapan yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sapu, Uber dan GrabCar serta ulat tiket.

"Aktiviti 'mengulat' atau menarik penumpang yang tiba di lapangan terbang ini telah berleluasa sejak bertahun lalu dan menjejaskan pendapatan para pemandu teksi berdaftar di KLIA dan KLIA2," katanya ketika sidang media sempena 'Ops Parasit' di KLIA malam tadi.

"Lima puluh lapan individu terbabit merupakan warga tempatan dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, pada tahun lalu juga sebanyak 58 kenderaan telah disita akibat kesalahan mengambil penumpang secara haram di KLIA dan KLIA2," katanya.

Menurut Che Hasni, dalam operasi terbaharu hari ini yang bermula pada pukul 6 pagi hingga 8 malam, pihaknya berjaya menahan tiga ulat di KLIA serta KLIA2 dan mereka kini sedang direman dan akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk sebutan kes esok.

Tambahnya pihaknya mendapati aktiviti mengulat menjadi lebih parah dengan penglibatan pemandu Uber dan GrabCar yang mula dikesan aktif di dua lokasi tersebut sejak Oktober lepas.

"Ketika menjalankan aktiviti 'mengulat' itu, mereka biasanya akan menutup aplikasi yang digunakan bagi mengelak dikesan pihak syarikat pengendali perkhidmatan masing-masing dan kemudian akan menarik para penumpang dan pelancong yang baru tiba di lapangan terbang, " katanya.

Kata beliau, sepanjang operasi itu dilakukan ada pemandu yang telah ditangkap pihak SPAD sehingga tiga kali atas kesalahan yang sama kerana hasil pendapatan lumayan yang berjaya diraih melalui aktiviti tersebut.

"Untuk kes seperti itu, biasanya kita akan meminta pihak mahkamah mengenakan hukuman yang lebih berat dari sebelumnya untuk kesalahan yang berulang," katanya.

Katanya operasi penguatkuasaan untuk menangkap individu yang terlibat dengan aktiviti 'mengulat' akan diterus pada tahun ini dan meminta kerjasama para penumpang untuk tidak menggunakan perkhidmatan mereka.


0 comments:

share2