Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 13, 2017

MEMELIHARA SENSITIVITI BERAGAMA


quran


Pernah beberapa tahun lepas di New York terpapar iklan mengajak umat Islam supaya murtad dengan memaparkan pelbagai tohmah terhadap Islam.

Dilaporkan pemimpin anti-Islam menggunakan 30 buah bas bagi memaparkan iklan yang menyasarkan umat Islam supaya murtad. Projek dipelopori oleh Pamela Geller mengetuai gerakan Stop Islamization of America atau Henti Islamkan Amerika.

Iklan-iklan itu memaparkan persoalan-persoalan yang boleh menggalakkan umat Islam murtad. Walaupun mereka menafikan iklan tersebut mencetuskan kemarahan orang Islam dan sejajar dengan kebebasan beragama, Geller mengatakan iklan tersebut tidak memfokuskan kepada umat Islam yang patuh kepada agama Islam tetapi hanya memberi alternatif kepada orang yang ingin keluar Islam. Sambil berselindung di sebalik lenggok penggunaan bahasa dan hak kebebasan beragama, pihak berkuasa Amerika telah membenarkan penggunaan iklan tersebut.

Dalam keadaan Donald Trump yang akan memegang tampuk kuasa Amerika Syarikat tak lama lagi, mungkin kita gusar apakah akan umat Islam hadapi di Amerika Syarikat kelak.

Jika diimbau dari sejarah, kita akan dapati tidak ada di dalam negara Islam orang bukan Islam dihina dan disogok untuk meninggalkan agama sebegitu rupa. Malah tidak dapat dinafikan orang bukan Islam memeluk Islam dengan kerelaan hatinya sendiri tanpa dipaksa ataupun diperdaya dengan pelbagai janji.

Tindakan yang dilakukan oleh Geller itu hanya akan mencetuskan ketegangan beragama dalam kalangan masyarakat berbilang kepercayaan. Ia bukan tindakan bijak bagi menangani isu perbezaan beragama, malah ia hanya akan melebarkan jurang perbezaan dan konflik beragama.

Di Malaysia, walaupun Islam dipasak sebagai agama bagi Persekutuan dan Islam satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, namun agama lain bebas dianuti oleh penganutnya serta diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian.

Sudah pasti perbezaan antara agama itu wujud tetapi yang lebih penting bagi kita sekarang ini bukanlah memperbesar-besarkan perbezaan tersebut, tetapi mencari kesamaan antara agama bagi menjadi nukleus kepada perpaduan kaum serta tidak sampai mempertikaikan ajaran sesuatu agama itu sendiri.

Dialog antara agama amatlah dianjurkan bagi memahami dengan lebih mendalam agama lain, dalam masa yang sama kita hendaklah berhati-hati agar dalam keghairahan berdialog tersebut kita terlalu emosi sehingga mempersoalkan ajaran ‘intra agama’ itu sehingga menggores hati penganut agama lain.

Sebagaimana kita tidak mahu melihat agama kita diherdik, kita juga hendaklah tidak menghina agama lain dan bersikap toleran dengan penganut agama lain. Malah ini juga menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.

Kita bertuah di bumi Malaysia ini, insiden seperti di New York itu tidak terjadi. Walau bagaimanapun bibit-bibit ke arah itu sudah mula dapat dirasakan. Tidak keterlaluan jika saya katakan jika fenomena ini tidak dikekang dari awal, tidak mustahil apa yang berlaku di Amerika Syarikat itu akan turut terjadi di Malaysia.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam di tempat teristimewa tetapi tanpa penghayatan sebenar erti dan tafsiran Perlembagaan, sudah pasti rakyat Malaysia akan hanyut dibuai insiden di luar negara itu.

Taufan yang membadai dari luar negara itu sudah tentu tidak seindah angin sepoi-sepoi yang dinikmati rakyat Malaysia kerana taufan tersebut pastinya akan mendatangkan kerosakan yang mungkin tidak dapat dibaiki lagi.

Gerakan memperkasakan Islam di Malaysia dan meletakkan Islam di tempat sewajarnya tidak sedikit pun akan mengganggu gugat kepercayaan orang bukan Islam. Islam sendiri mengajar tiada paksaan bagi orang bukan Islam memeluk agama Islam.

Orang bukan Islam tidak harus berasa gusar dengan tuntutan orang Islam memperkasakan kedudukan Islam di Malaysia. Tidak akan ada iklan yang cuba mempengaruhi orang bukan Islam supaya meninggalkan agama mereka sekiranya Islam dilaksanakan sepenuhnya.

Perkara ini dibuktikan apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan menegakkan negara Islam yang bersandarkan kepada dustur al-Madinah. Tidak ada seorang pun bukan Islam dalam kalangan orang Yahudi dan Kristian yang dipaksa memeluk Islam ketika itu. Malah perniagaan dan harta orang bukan Islam itu juga dijamin oleh Rasulullah SAW.

Perkara yang lebih menarik lagi dalam beberapa pertikaian yang dibawa ke penghakiman pula pada zaman Rasulullah dan para sahabat Baginda, terdapat antaranya pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam.

Malah dalam kalangan orang Islam itu pula ada antara mereka yang merupakan pemimpin negara. Penghakiman Islam bersandarkan kepada bukti dan beban pembuktian sebagaimana disyariatkan tanpa mengambil kira walaupun yang bertikai itu adalah pemimpin negara.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa dalam sistem kenegaraan Islam rakyat diutamakan dan keadilan ditegakkan. Kebebasan beragama amat dihargai dan tidak akan berlaku penghinaan terhadap agama seperti yang berlaku di Amerika Syarikat itu.

Rakyat Amerika Syarikat yang mengakui mengamalkan kebebasan beragama perlu membuka minda mereka sendiri dan tidak melihat sesuatu dari kaca mata yang kabur. Sebagaimana mereka tidak mahu agama mereka dicerca, janganlah menghina atau membangkitkan semangat anti agama terhadap mana-mana agama pun. Kita tunggulah bagaimana pula pentadbiran Trump mengorak langkah menangani isu Islam nanti.


0 comments:

share2