Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 2, 2017

[KUANTAN] USAHA SELESAI ISU BAUKSIT

Usaha selesai isu bauksit



Satu sesi dialog dan perjumpaan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dengan pengusaha bauksit dan wakil peneroka terlibat akan diaturkan dalam tempoh terdekat.

Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, pertemuan itu akan membincangkan masalah dihadapi peneroka Felda di Bukit Goh berhubung aktiviti perlombongan bauksit.

Menurutnya, kebanyakan peneroka yang menjadikan tanah sawit sebagai lombong semakin terkesan apabila tempoh moratorium disambung tiga bulan lagi.

“Saya selaku pemimpin cuba bantu menyelesaikan masalah mereka dengan mengadakan sesi dialog bersama MB, peneroka dan pengusaha.

“Saya yakin dengan cara sedemikian, masalah membabitkan isu bauksit dapat diselesaikan selain beri cadangan untuk tambah baik operasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Back to School di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh, di sini semalam.

Katanya, setakat ini beliau sedang mengatur pertemuan dengan Adnan bagi membolehkan sesi perjumpaan tersebut diadakan.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan tempoh lanjutan tempoh moratorium sehingga 31 Mac 2017 bagi membolehkan stockpile bauksit berjumlah 2.95 juta tan, dapat dikeluarkan.

Ia lanjutan keempat diumumkan oleh kabinet selepas kali pertama selama tiga bulan pada 15 Januari hingga 15 April 2016 sebelum dilanjutkan sebanyak dua kali sehingga 15 September dan bersambung hingga semalam.

Md Sohaimi berkata, beliau berharap pertemuan yang bakal diaturkan itu berjaya menyelesaikan masalah peneroka di kawasan terbabit.




0 comments:

share2