Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 7, 2017

[KUANTAN] PEMBENTUNG ALAMI KERETAKAN SERIUS


Pembetung alami keretakan serius


Tekanan air terlalu tinggi menyebabkan pembetung di laluan utama dekat Kampung Sungai Ular di sini mengalami keretakan serius.

Kerosakan tersebut mengakibatkan permukaan jalan di laluan masuk ke kampung berkenaan mendap dan berlubang sejak setahun lalu.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim berkata, kerja baik pulih perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kerosakan itu bertambah teruk berikutan cuaca tidak menentu ketika musim tengkujuh kini.

Menurutnya, struktur binaan jalan di atas pembetung juga didapati tidak selamat dan berisiko runtuh sekiranya tekanan air sungai semakin tinggi.

“Selepas melakukan tinjauan hasil aduan belia di sini, saya memandang serius perkara ini dan kita telah hantar surat kepada beberapa pihak untuk tindakan segera.

“Untuk jangka panjang, sepatutnya dibina sebuah jambatan baru tetapi untuk sementara bagi mengelak kerosakan teruk pada musim tengkujuh ini, kerja baik pulih perlu dilakukan.

“Berapa peruntukan yang ada, gunalah untuk perbaiki pembetung yang retak kerana ini satu-satunya laluan masuk menghubungkan banyak rumah penduduk,” katanya.

Faiz berkata, laluan tersebut ditenggelami banjir pada 2013 selepas paras sungai melimpahi tebing dan menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Menurutnya, penduduk diharap berhati-hati ketika menggunakan pada musim tengkujuh dan berwaspada jika kerosakan bertambah serius.


0 comments:

share2