Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 5, 2017

[KUANTAN] HENTI KEMPEN KERANA PELANGGAN


Henti kempen kerana pelanggan


Rungutan pelanggan menyebabkan beberapa pasar raya di sini tidak lagi meneruskan kempen tanpa plastik setiap Sabtu seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati, pihak pasar raya mengakui menerima rungutan pelanggan apabila mereka terpaksa membayar 20 sen untuk setiap plastik pada hari Sabtu dan situasi itu menyebabkan pasar raya terbabit tidak dapat dapat meneruskan lagi kempen tanpa beg plastik seperti ditetapkan.

Bagi Pengurus Pasaraya Nirwana di Jalan Air Putih di sini, Gan Yoke Chow berkata, kempen itu tidak dapat diteruskan kerana terlalu banyak rungutan diterima terutamanya daripada pelanggan tetap.

Menurutnya, mereka kini menjalankan operasi seperti biasa dan memberikan plastik pada hari Sabtu sejak tahun lalu.

“Lagipun penggunaan beg yang dibawa sendiri seperti yang disyorkan tak dapat dikawal kerana kes kecurian mudah berlaku.

“Namun kita akur jika Pahang turut menetapkan langkah sama seperti negeri lain tanpa plastik setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Operasi Pasaraya Darul Makmur (PDM), Fazlan Yusof berkata, pasar raya itu yang mempunyai enam cawangan di seluruh Pahang setakat ini masih belum melaksanakan kempen tanpa plastik pada hari Sabtu sejak ia mula beroperasi dua tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun pihaknya akur dan turut serta jika tindakan sama seperti negeri lain dijalankan di negeri ini kerana sedar ia juga satu usaha yang baik untuk menjaga alam sekitar.

“Namun pemikiran dan budaya pengguna juga perlu berubah dan turut sama membantu menjayakan tindakan ini dan bagi PDM pula, kita akan mengikutinya jika semua pasar raya turut mengambil tindakan sama.

“Bagi caj 20 sen yang dikenakan kepada pelanggan bagi setiap plastik, kita mungkin akan salurkan kembali untuk orang ramai seperti Pusat Zakat,” katanya.



'Kempen masih ada kelemahan'

Sementara itu, Persatuan Pencinta Alam menyokong langkah larangan penggunaan plastik di pasar raya seperti yang dikuatkuasakan di Selangor bermula 1 Januari lalu.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pencinta Alam (MNS), Noor Jehan Abu Bakar berkata, semua sedia maklum bahawa plastik tidak akan hancur walaupun selepas berpuluh-puluh tahun dibuang.

Menurutnya, kempen tiada penggunaan plastik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini bagaimana pun mempunyai kelemahan.

“Namun usaha kerajaan Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan plastik di pasar raya amat dipersetujui.

“Ada kajian yang dijalankan mengatakan menjelang tahu 2030 lautan kita akan mengandungi lebih banyak sampah plastik berbanding ikan. Hasil kajian itu amat membimbangkan dan kita perlu mengambil satu langkah untuk menyelamatkan alam sekitar,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, Noor Jehan berkata, peluang itu seharusnya dimanfaatkan oleh golongan wanita seperti ibu tunggal untuk membuat beg kain yang boleh menjana pendapatan kepada mereka.

“Saya setuju dan garis panduan yang lebih teliti perlu dibuat agar tindakan itu memberikan kesan positif kepada semua pihak,” katanya.



'Cuba jangan bebankan pengguna'

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Marwati Mohamad Yusof, 43, berkata, dia kurang setuju jika tindakan itu dijalankan pada setiap hari kerana ia membebankan pengguna terutamanya golongan kurang berkemampuan.

“Lagipun ia menyusahkan golongan ibu yang datang dengan anak-anak. Mana nak pegang barang, mana nak perhatikan anak-anak lagi. Kalau hanya hari Sabtu, mungkin boleh diterima dan saya tak kisah sokong kempen jaga alam sekitar,” katanya.

Manakala bagi seorang pembantu awam, Rizuan Ibrahim, 35, dia menganggap tindakan itu kurang sesuai dilaksanakan walaupun sedar ia antara usaha kerajaan dalam menjaga alam sekitar.

“Kalau sekali-sekala macam hari Sabtu seperti yang telah dilaksanakan saya akan bayar 20 sen tu, tapi harap ada langkah lebih sesuai dapat diambil untuk tak bebankan pengguna," katanya.

Bagi seorang peniaga kedai makan, Shamsul Bahari Md Arsyad, 33, dia turut kurang setuju jika ia dijalankan kerana bagi mereka yang membeli dalam kuantiti banyak, ia agak menyusahkan.


0 comments:

share2