Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 5, 2017

[JENGKA] GUNA PRINSIP 'BAYAR SEIKHLAS HATI'


Guna prinsip 'bayar seikhlas hati'


Siapa tak kenal Hafiz di kawasan ini. Seorang 'runner’ kelainan upaya tanpa tangan kiri yang dikenali sebagai penghantar yang jujur, amanah dan tidak berkira.

Walaupun kehilangan sebelah tangan akibat kemalangan, pemuda berusia 29 tahun ini ada prinsip dan ikhlas membantu dengan mengenakan bayaran ‘seikhlas hati’ untuk pelanggan yang mendapatkan khidmatnya lantas menjadikannya dia dikenali dan disegani.

Atas dasar itulah Mohd Hafis Abdullah (Hafiz) kekal dalam dunia runner yang ada cabaran tersendiri lebih-lebih bagi seorang OKU sepertinya.

“Kenapa saya kata tugas runner mencabar? Selain sentiasa terdedah dengan bahaya di atas jalan raya, pekerjaan ini juga menguji keimanan dan tahap kejujuran seseorang.

“Pasal duit memang boleh buat manusia gelap mata. Alhamdulillah. Saya bersyukur ALLAH menetapkan hati saya untuk sentiasa menjaga amanah dan jujur dalam pekerjaan. Saya pernah memegang duit pelanggan berjumlah ribuan ringgit untuk membayarkan duit perabot mereka. Terbit rasa syukur dan insaf setelah melakukan pekerjaan dengan penuh amanah,” katanya memulakan bicara.

Kerja ikhlas tak harap bayaran lumayan

Berhujan, berpanas merupakan asam garam kehidupan seorang runner. Hafiz tidak pernah memilih pelanggan sebaliknya mengutamakan mereka yang lebih memerlukan khidmatnya. Antaranya warga emas dan golongan kelainan upaya yang memerlukan khidmat beliau secepat mungkin.

Bukan sahaja hantar barang, tetapi membelikan barang dapur (personal shopper), bayar bil elektrik dan air, bayar ansuran kereta, hantar duit, sehinggalah kepada kerja kerja membuat kejutan hari jadi penerima, itu antara tugasan harian.

“Runner kena bersedia dengan kehendak dan sikap pelanggan. Ditipu pelanggan pun pernah. Lakukan kerja penuh ikhlas tanpa mengharapkan bayaran lumayan. Memang ada kalanya kita rasa nak putus asa bila terima upah yang sedikit. Pendek kata duit petrol pun tak lepas.

“Tapi cara saya, segera beristighfar. Saya renung kembali kekurangan diri. Bersangka baik. Mungkin ini sahaja bahagian dan rezeki saya. Selebihnya niatkan sedekah sahaja. ALLAH tahu. Insya-ALLAH hati tenang dan rasa rezeki yang berkat. Ada masa dapat upah tinggi. Semuanya itu roda hidup. ALLAH nak uji. Kalau kita redha, DIA bagi lagi,” katanya.

Hampir setahun kurung diri

Hafiz bersyukur rezekinya dalam bidang itu berbanding lebih 11 tahun lalu ketika dia mula-mula bangkit selepas hampir setahun berkurung diri kerana kemalangan.

“ALLAH saja yang tahu bagaimana saya rasa kecewa dan putus asa bila tahu tangan saya kudung. Pertunangan saya juga putus. Saya menyendiri. Lama saya ambil masa untuk bangkit. Rupa-rupanya kemalangan itu titik permulaan saya ke arah kehidupan yang lebih baik,” tambahnya.

Kini Hafiz diberikan peluang menjadi usahawan berkat pertolongan dan kepercayaan rakan niaga, untuk memasarkan produk krim rambut Pomade Runner Turbo, jenamanya sendiri.

Anak muda kelahiran Felda Jengka ini juga menjual pelekat pelbagai label secara kecil-kecilan sekali gus menjadi inspirasi kepada rakan-rakannya yang lain dalam menjadikan kisah hidup beliau sebagai tauladan.

“Azam saya pada tahun ini ialah kembali aktif menyertai sukan paralimpiad Kontinjen Pahang. Dahulu saya pernah beberapa kali memenangi pertandingan dalam sukan badminton. Tetapi akibat kekangan masa saya terhenti seketika. Tahun ini saya mahu kembali aktif.

“Begitu juga dengan perniagaan. Saya harap Pomade Runner Turbo akan mendapat sambutan ramai," katanya.


0 comments:

share2