Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 30, 2017

[KUANTAN] DAPAT RM800 DALAM DUA JAM


Dapat RM800 dalam dua jam


Paras air sungai yang meningkat ketika musim banjir memberi rezeki tambahan kepada penduduk Kampung Sungai Pinang dengan menjual ikan sungai sejak lima hari lalu.

Mereka mampu meraih sehingga RM800 dalam tempoh dua jam hasil jualan pelbagai jenis ikan sungai antaranya lampam, sebarau, ketutu, baung dan kaloi.

Bagaimanapun, ia bukan semudah disangka kerana mereka perlu bergadai nyawa mengharung arus deras menggunakan bot untuk menahan jaring semalam sebelum keluar awal subuh bagi mengutip hasil.

Seorang penduduk, Zulkifli Mahmud, 42, berkata, situasi itu sudah menjadi kelaziman kepada penduduk untuk mengambil peluang menambah pendapatan setiap kali musim banjir.

Menurutnya, pada bencana kali ini, kawasan kampung berkenaan hanya terputus hubungan darat selepas laluan utama dinaiki air.

“Paras sungai berdekatan tinggi dan berarus deras namun air memasuki anak-anak sungai yang memberi kami rezeki banjir kerana waktu ini ikan banyak dan saiz pun besar.

“Lebih kurang tujuh penduduk yang mencari dan menjual ikan di sini. Kami guna khemah sama untuk jual dan sama ada ikan...dia jual dulu sementara tunggu yang lain pergi tengok jaring.

“Biasa memang semalam tahan jaring tetapi angkat jaring kutip hasil tak tentu masa dan makin tinggi air, makin banyak ikan tapi bila air surut, tak ada dah ikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Seorang penduduk, Faizah Mohammad, 40, berkata, dia membantu suamj menjual ikan di lokasi tepi bahu Jalan Sungai Lembing yang sudah diketahui ramai terutama penggemar ikan sungai termasuk dari Kuala Lumpur bagi mendapatkan ikan segar.

Menurutnya, harga ditawarkan adalah sama seperti pasaran semasa walaupun pada musim banjir namun tetap mendapat sambutan.

“Biasa dalam dua jam, paling lama tiga jam semua ikan habis dijual dan ada yang pulang tangan kosong kerana jenis ikan dicari sudah habis.

“Alhamdulillah. Bolehlah dapat paling banyak RM800 ikut jumlah dan jenis ikan yang dapat kerana setiap hari tak sama. Ikan paling mahal adalah ikan ubi (ketutu) RM90 sekilogram.

“Tapi tidak lama menjual bergantung pada air sungai, esok lusa tak ada dah ikan kerana air makin surut,” katanya.


0 comments:

share2