Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 30, 2017

[PEKAN] SEKELUARGA ALAMI MALANG BERGANDA


Sekeluarga alami malang berganda


Sudah jatuh ditimpa tangga, itu situasi sebuah keluarga di Kampung Tanjung Pulai, di sini, apabila rumah mereka bukan hanya dilanda banjir, malah dapurnya dan pecah akibat arus limpahan air Sungai Pahang terlalu deras, awal pagi semalam.

Kamariah Muhamad Taib, 43, berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku pada keluarganya, selepas beberapa kali rumahnya dinaiki air termasuk dilanda banjir besar pada 2014.

Menurutnya, awal pagi semalam, dia menerima panggilan daripada anak lelakinya iaitu Abu Hasan Azmi, 26, yang ketika itu berada di rumah yang memaklumkan mengenai keretakan di dinding dapur rumahnya pada kira-kira jam 4.30 pagi.

“Masa kejadian saya ada lima anak di pusat pemindahan banjir...saya terima panggilan daripada Hasan yang ada di rumah pada masa itu. Saya terkejut bila Hasan bagi tahu dia dengar bunyi krak..krak..krak dinding dapur. Dia terus ke dapur untuk tengok, bila tengok dia terkejut sebab dinding dah retak.

“Dia juga ada kirim gambar kepada saya menerusi WhatApps. Bila dapat berita tu saya nekad nak balik tengok keadaan rumah bersama suami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, sejurus mendapat panggilan daripada anaknya, dia bersama suaminya, Azmi Dollah, 54, segera pulang ke rumah dan melihat rekahan pada dinding rumahnya.

Katanya, dia melihat arus air merempuh dinding tersebut dengan kuat sehingga rekahan kecil menjadi semakin besar, seterusnya pecah.

“Tak sampai beberapa jam, dinding tersebut pecah dan runtuh. Lantai yang berjubin juga rosak. Saya hanya mampu melihat kejadian itu dan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Kamariah berkata, retakan itu berlaku kemungkinan rumahnya sering dinaiki air, memandangkan jaraknya hanya kira-kira 500 meter dari Sungai Pahang.

“Jika nak bandingkan, arus hari ini (semalam) agak kuat dan laju...itu sebab rumah akak boleh retak, kalau sebelum ini tak ada masalah pun,” katanya.

Menurutya, dia menganggap kejadian itu dugaan buat keluarganya yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Katanya, setakat ini, dia tidak mengetahui jumlah kerugian kerana banjir semakin buruk di kawasan perkampungan tersebut.

“Saya anggarkan RM5,000 untuk bina dinding baharu, tapi dalam keadaan air sekarang ini, saya tak tahu bahagian mana lagi rumah saya yang rosak.

“Apa-apa pun kena tunggu banjir pulih baru boleh fikirkan jalan penyelesaian kepada masalah yang saya hadapi ini,” katanya.


0 comments:

share2