Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 19, 2017

[KERATONG] DITUTUP UNTUK SEMUA KENDERAAN


Ditutup untuk semua kenderaan


Jambatan di Kampung Lubuk Batu serta Meripoh, di sini, ditutup kepada semua kenderaan bermula petang kelmarin berikutan paras air sungai meningkat dan penduduk di kampung terlibat terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk keluar melakukan urusan harian.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Rompin, Mohd Normi Mat Noh memaklumkan, jambatan di Meripoh sudah ditenggelami air melebihi paras satu meter manakala di kampung Lubuk Batu, ketinggian air sungai sudah menyamai paras jambatan.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, kedua-dua jambatan ditutup dan diletakkan papan tanda amaran, namun hasil tinjauan di Lubuk Batu pagi semalam mendapati masih ada penduduk tidak mengendahkan amaran apabila ada kenderaan melalui jambatan.

"Pelajar-pelajar di Kampung Meripoh mengalami kesukaran untuk ke sekolah dan kami sudah berbincang dengan pasukan bomba dan penyelamat untuk mencari alternatif bagi membolehkan pelajar-pelajar ke jalan utama untuk menaiki bas.

"Jambatan Meripoh memang laluan utama penduduk hantar anak sehingga ke 'gate' sebelum mereka menaiki bas untuk ke beberapa sekolah di sekitar Keratong," katanya.

Mohd Normi berkata, pasukan bomba telah bersetuju menyediakan trak bagi mengangkut pelajar-pelajar sekolah bermula semalam melalui jalan alternatif, iaitu jalan ladang sehingga paras air sungai pulih dan jambatan boleh dilalui.

Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Rompin, Aizuddin Anuar ketika dihubungi berkata, kedua-dua jambatan melibatkan Sungai Keratong dan Sungai Buan itu dinaiki air kerana struktur binaannya rendah.

Katanya, paras air di kedua-dua sungai ada peningkatan tetapi masih normal dan penduduk terlibat boleh menggunakan jalan alternatif.

"Namun Jabatan Meteorologi ada mengeluarkan amaran peringkat kuning pada 18 hingga 20 Januari dan keadaan ini mungkin membimbangkan," katanya.

Sementara itu, Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain memaklumkan, beliau telah meninjau lokasi terlibat dan difahamkan pada pagi semalam, paras air sungai menunjukkan peningkatan.

Sehubungan itu beliau meminta agensi terlibat mengambil tindakan bagi membantu permasalahan dihadapi penduduk.

"Setakat ini keadaan masih terkawal kerana ada jalan alternatif untuk dilalui penduduk. Tiada masalah perhubungan dan tidak berlaku masalah putus bekalan makanan.

"Saya ucap terima kasih kepada agensi kerajaan terlibat kerana telah membantu penduduk. Dalam pada itu, penduduk dinasihati supaya berwaspada, menjauhi kawasan dinaiki air dan memantau aktiviti anak-anak bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau turut menyarankan agar penduduk sentiasa mematuhi arahan diberikan pasukan keselamatan agar segala bantuan atau tindakan diambil berjalan lancar.


0 comments:

share2