Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 19, 2017

[JERANTUT] TUAH MILIKI NAMA FELDA


Tuah miliki nama Felda


Siapa sangka memiliki nama Felda memberi seribu satu kenangan istimewa buat seorang anak peneroka Felda Padang Piol, di sini.

Jika sebelum ini dia pernah menerima anugerah sebagai anak Felda pertama negara bersempena kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke tanah rancangan itu, kali ini pula dia menerima surat tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

Felda Yusop, 43, menganggap rezekinya menjadi antara penerima awal PGBF adalah berkat nama yang diberi bapanya.

“Saya bersyukur sebab hampir lima tahun menunggu, akhirnya dapat juga saya miliki rumah sendiri.

“Tinggal selangkah saja lagi iaitu urusan permohonan dengan pihak bank...lepas tu dapatlah saya tinggal di rumah sendiri, tak payah dah nak menumpang rumah orang tua,” katanya.

Menurutnya, dia turut teruja apabila mendapat rumah lot tepi dengan harga bernilai RM108,000.

“Suka sangat dapat rumah corner lot ni. Dapatlah saya bercucuk tanam nanti,” katanya.

Bercerita lanjut tentang namanya itu, Felda berkata, ketika ayahnya diterima menyertai Felda pada tahun 1973, ayahnya berhasrat untuk menamakan salah seorang anaknya sebagai Felda.

“Tidak lama lepas itu saya dilahirkan, ayah pun namakanlah saya sebagai Felda,” katanya.

Felda antara 26 individu yang menerima surat tawaran PGBF yang bertempat di tapak perumahan terbabit di Felda Padang Piol semalam. Surat tawaran itu disampaikan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Turut hadir Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Adun Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak.

Dalam pada itu, Shahrir berkata, harga rumah teres yang ditawarkan kepada penerima bermula RM90,000.

Katanya, pihaknya bercadang membina lebih banyak rumah kepada generasi baharu Felda pada masa hadapan dengan harga jualan lebih rendah.

Sementara itu, Nooratikah Kadis, 26, berkata, dia amat bersyukur menjadi antara penerima termuda menerima surat tawaran itu.

“Saya harap proses selepas ini dipermudahkan dan kami dapat segera mendiami rumah,” katanya.


0 comments:

share2