Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 31, 2017

[JERANTUT] RANCANG TAMBAH RUMAH RAKIT


Rancang tambah rumah rakit


“Kena tambah banyak lagi rumah rakit,” kata seorang mangsa banjir Kampung Paya Garok di sini selepas tiga rumah rakit milik keluarganya tidak cukup menampung jumlah barang terdapat di dalam rumahnya.

Asmah Othman, 63, berkata, dia sekeluarga terpaksa menghadapi kerugian ribuan ringgit kerana hanya mampu menyelamat sebahagian barangan penting.

Katanya, rumah yang sedia ada hanya dapat memuatkan barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan beberapa barangan penting lain namun, tidak dapat menampung barangan perabot seperti katil, tilam dan almari.

“Mana yang diangkat itu semua yang penting-penting sahaja. Almari, katil dan banyak lagi barang yang berat terpaksa ditinggalkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, banjir kali ini agak mengejutkan dan mereka sekeluarga tidak menyangka air naik hingga memasuki rumahnya.

“Memang terkejut sebab biasanya kalau air naik perlahan macam ini takkanlah sampai jejas rumah. Tapi tak sangka pula air naik sehingga separuh rumah tenggelam.

“Ketika mula naik atas jalan, kami masih belum pindahkan barang-barang. Tapi ba tengok air semakin naik, cepat-celat kami punggah barang mana yang sempat,” katanya.

Asmah tinggal bersama suaminya, Mat Dilu Selat, 69, di rumah rakit milik mereka sejak banjir mula melanda kampung terbabit Rabu lalu bagi menjaga barangan berharga milik mereka, manakala tiga anaknya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah.

“Selain rumah saya, saya dapat tahu ada 14 lagi rumah penduduk kampung ini yang terjejas teruk akibat banjir dan ini termasuklah tiga rumah anak saya yang berada berhampiran rumah saya ini.

“Ada rumah anak saya yang tak sempat selamatkan barang sebab rumah rakit dah penuh. Lepas ini jika ada rezeki lebih insya-ALLAH kami akan bina lebih banyak lagi rumah rakit untuk tampung barangan rumah kami,” katanya.

Asmah yang turut memelihara lima ekor kucing turut melahirkan kesyukurannya apabila kesemua haiwan itu selamat.

“Kebiasaannya kucing-kucing saya ini akan menyelamatkan diri mereka dengan memanjat ke atas bumbung rumah.

“Seperti banjir teruk yang menenggelamkan seluruh rumah saya pada 2014, saya sempat selamatkan mereka yang berada di bumbung dan letakkan mereka di atas bukit. Kali ini banjir cuma menenggelamkan separuh rumah, jadi mereka masih selamat di atas bumbung,” katanya.

Semalam, Asmah sekeluarga sudah pulang ke rumah mereka untuk membersihkan rumah dan barangan yang rosak akibat ditenggelami banjir.

“Tilam dan perabot yang rosak terpaksalah dibuang. Hari ini (semalam) air paip pula kecil jadi mungkin kena tunggu air paip pulih sepenuhnya baru dapat melakukan kerja-kerja membersihkan dan mencuci rumah,” katanya.

Mohd Ramli Jaafar, 49, pula berkata, dia terpaksa membatalkan majlis perkahwinan anak perempuannya yang sepatutnya berlangsung kelmarin kepada Sabtu ini. 

Katanya, dia berharap tetamu diundang dapat menghadiri kenduri kahwin anaknya itu pada tarikh berkenaan.

“Bagaimanapun, anak perempuan saya selamat dinikahkan selepas Asar semalam (kelmarin) di rumah kami. Cuma kenduri sahaja yang terpaksa ditangguhkan kerana air banjir masih belum surut sepenuhnya semalam,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan terbabit semalam mendapati keseluruhan jalan di Kampung Paya Garok kini sudah boleh dilalui.

Jalan kampung juga didapati dipenuhi lumpur kesan dari banjir yang melanda sejak enam hari lalu.


0 comments:

share2