Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 3, 2017

[BENTONG] PENDUDUK CHEMOMOI MOHON LAMPU ISYARAT

Penduduk Felda Chemomoi mohon lampu isyarat



Rata-rata penduduk dan pengguna jalan raya memohon lampu isyarat dibina di persimpangan utama Felda Chemomoi, dekat sini, bagi memudahkan kenderaan keluar masuk.

Mereka mendakwa, ketiadaan lampu isyarat bukan sahaja menyebabkan laluan utama keluar masuk Felda Chemomoi sesak, tetapi mendedahkan pelajar yang banyak menaiki basikal dan berjalan kaki terdedah kepada bahaya.

Menurut seorang wakil penduduk, Mohd Rizal Abd Yabzib, 30 berkata susulan ketiadaan lampu isyarat, pengguna jalan raya agak sukar memberikan kerjasama memperlahankan kenderaan bagi membolehkan pengguna lain masuk ke persimpangan berkenaan.

Menurutnya, simpang empat yang diberi jolokan simpang maut itu sering menjadi lokasi kemalangan termasuk kemalangan maut.

“Kemalangan berlaku apabila semua kenderaan dari empat arah bertembung kerana ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing dan lebih membimbangkan kanak-kanak juga turut menjadi mangsa korban kemalangan akibat ketiadaan lampu isyarat di situ.

“Oleh itu, saya harap agar pihak bertanggungjawab dapat menimbang kewajaran menyediakan kemudahan lampu isyarat di persimpangan ini yang dapat mengelakkan kemalangan di kawasan itu pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chemomoi di sini, hari ini

Mohd Rizal berkata , permohonan tersebut wajar diutamakan selain beberapa kampung dan taman perumahan, kawasan sekitar persimpangan itu turut menempatkan sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan.

“Permohonan memasang lampu isyarat pernah dikemukakan kepada pihak berkuasa tetapi sehingga kini masih belum mendapat reaksi daripada pihak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua PKR Cabang Bentong, Isa Ahmad berkata pihak berkuasa tempatan perlu memandang serius masalah itu kerana kemalangan yang kerap berlaku di persimpangan itu mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.

“Kerap berlaku kemalangan di sini yang kebanyakannya membabitkan penunggang motosikal dan basikal kerana masing-masing mahu masuk dan keluar simpang dengan cepat,” katanya.




0 comments:

share2