Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 3, 2017

[TEMERLOH] BERDEBAR SETIAP KALI HUJAN

Berdebar setiap kali hujan



Tiga keluarga di Kampung Paya Dalam di sini, tetap gusar dengan nasib mereka biarpun paras air Sungai Pahang dan Sungai Semantan masih di tahap normal.

Ini kerana kawasan rumah mereka berpotensi berdepan dengan banjir kilat disebabkan kedudukan rumah terletak dengan kawasan pembinaan perumahan baharu.

Ia dipercayai menjadi punca aliran air keluar ke kawasan itu tersekat akibat kerja menambun tanah dan ketiadaan longkang yang sempurna.

Seorang penduduk Norzalizan Abdul Aziz 59, berkata, sejak setahun lalu dia bimbang rumah dinaiki air terutama sekali apabila hujan lebat melebihi dua jam.

“Tiap kali cuaca mendung dan hujan saya pasti berdebar dan risau rumah akan dinaiki air.

“Setiap kali hujan rumahnya akan dinaiki air yang melimpah daripada kawasan paya yang terletak bersebelahan kampung berkenaan.

Katanya, akibat daripada situasi berkenaan, bahagian bawah rumahnya kini terpaksa dikosongkan bagi memastikan barang-barang tidak rosak.

“Hujan beberapa jam sahaja semalam menyebabkan rumah saya dinaiki air kira-kira dua meter dan saya tidak dapat tidur kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

“Jadi, saya harap isu ini dapat diatasi segera memandangkan sejak Oktober tahun lalu lebih lima kali kejadian banjir kilat berlaku di rumah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Dalam, di sini semalam.

Norzalizan berkata, kejadian banjir kilat berkenaan mula berlaku selepas sebahagian kawasan paya bersebelahan rumahnya ditambak untuk projek perumahan.

Justeru, dia berharap pihak berkaitan dapat mengambil perhatian dan tindakan segera bagi mengatasi masalah itu yang amat membebankannya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Paya Dalam, Mohd Nasir Lani berkata, tiga rumah penduduk kampung berkenaan terjejas dalam kejadian banjir kilat kali ini.

Katanya, kejadian itu berpunca daripada tindakan kontraktor perumahan yang menimbus kawasan paya bersebelahan kampung berkenaan.

Menurutnya, ketiadaan longkang saluran air yang sempurna menyebabkan air hujan melimpah ke kawasan kampung berkenaan sehingga berlaku banjir kilat.

“Saya telah mengemukakan aduan kepada pihak berkenaan tetapi sehingga kini tidak ada tindakan dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini termasuklah pembinaan longkang.

“Jadi saya berharap isu ini diberi perhatian dan dapat diselesaikan segera kerana ia melibatkan kepentingan penduduk setempat,” katanya.




0 comments:

share2